Penanaman Padi Hibrid tingkatkan kemahiran penghuni penjara

27 Sep 2026 - 3:16am

Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad

Foto : Pg. Nur Hafilah Pg. Osman

TUTONG, Sabtu, 26 September. - Program Penanaman Padi Hibrid Jabatan Penjara dilaksanakan bagi memberikan latihan praktikal, kemahiran pertanian dan pengalaman bekerja kepada penghuni penjara dalam suasana yang terkawal.

Program berkenaan juga merupakan salah satu pendekatan pemulihan dan persediaan penghuni sebelum kembali ke masyarakat.

Program tersebut telah dirasmikan oleh Menteri Penyelaras Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman petang tadi, sempena Memperingati Penubuhan Jabatan Penjara Ke-72 Tahun bertempat di luar kawasan Institusi Penjara Maraburong Fasa III.

Menurut Inspektor Penjara, Jabatan Penjara, Dayang Nurhafiyah binti Abdullah semasa ditemu bual, program berkenaan memberi peluang kepada penghuni mempelajari kemahiran pertanian yang boleh dimanfaatkan selepas tamat tempoh hukuman.

Katanya, penglibatan dalam aktiviti pertanian juga dapat membentuk disiplin, sikap bertanggungjawab, kerjasama, ketekunan dan etika kerja, di samping membuat persediaan untuk perintegrasian kepada keluarga dan masyarakat.

Selepas hasil pertama dituai ujarnya, program berkenaan dirancang untuk diteruskan ke musim penanaman seterusnya. Sebahagian hasil akan digunakan bagi tanaman kedua, manakala sebahagian lagi dirancang untuk projek tanaman semaian padi berskala kecil.

Dalam jangka masa panjang tambahnya, projek berkenaan berpotensi menghasilkan padi untuk kegunaan penghuni penjara serta bekalan kepada pembekal makanan yang dipilih.

Hasrat Jabatan Penjara adalah untuk menyokong usaha negara dalam melahirkan individu yang berkemahiran, berdaya saing dan produktif melalui penguasaan kemahiran pertanian, serta menyokong usaha ke arah pembangunan ekonomi yang lebih dinamik, berdaya tahan dan seimbang dengan matlamat Wawasan Brunei 2035.