Siaran Akhbar dan Foto : Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei
JERUDONG, Selasa, 29 September. - Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (Perbadanan TAIB) telah menandatangani perjanjian kerjasama dengan RUA AlHaram AlMakki Company (RUA AlHaram AlMakki) dan Rua Al Madinah Holding (Rua Al Madinah) di Dewan Indera Samudra, The Empire Brunei.
Perjanjian tersebut menjadi asas untuk meneroka peluang pelaburan dan pembangunan di bandar-bandar suci Mekah Al-Mukarramah dan Madinah Al-Munawwarah serta potensi peluang pelaburan dua hala di Negara Brunei Darussalam (NBD).
Majlis Menandatangani Perjanjian tersebut telah dihadiri oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, selaku Penasihat Perbadanan TAIB dan Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah serta Setiausaha Tetap (Penyelarasan Dasar Ekonomi) di Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri dan Pengarah Urusan Perbadanan TAIB, Datin Hajah Hasnah binti Haji Ibrahim.
Turut hadir, Ahli-ahli Lembaga Pengarah Perbadanan TAIB serta para delegasi dari Kerajaan Arab Saudi.
Delegasi Arab Saudi diketuai oleh Ketua Bahagian Pelaburan Hartanah Tempatan, Saad Alkroud dan Ketua Pengurusan Portfolio Pantai Barat dari Public Investment Fund, Naif Alhamdan; Ketua Pegawai Eksekutif RUA AlHaram AlMakki, Bambang Kajairi dan Ketua Pegawai Eksekutif Rua Al Madinah, Ahmed Al Juhani.
Dua perjanjian kerjasama telah ditandatangani semasa majlis tersebut. Perjanjian dua hala antara Perbadanan TAIB dan RUA AlHaram AlMakki telah ditandatangani oleh Datin Hajah Hasnah dan Bambang Kajairi serta disaksikan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam dan Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan TAIB, Dr. Norfarizal bin Othman bersama Saad Alkroud.
Perjanjian dua hala tersebut menyediakan rangka kerja untuk meneroka peluang pelaburan dan pembangunan yang berpotensi dalam Projek King Salman Gate. Terletak bersebelahan dengan Al-Masjid Al-Haram di Mekah, pembangunan tersebut merangkumi kemudahan kediaman, hospitaliti dan peruncitan.
Perjanjian tiga pihak antara Perbadanan TAIB, RUA AlHaram AlMakki dan Rua Al Madinah telah ditandatangani Datin Hajah Hasnah, Bambang Kajairi dan Ahmed Al Juhani serta masing-masing disaksikan oleh Dr. Norfarizal, Saad Alkroud dan Naif Alhamdan.
Perjanjian tiga pihak tersebut menyediakan rangka kerja untuk meneroka peluang yang lebih luas berkaitan dengan pembangunan di Mekah dan Madinah, termasuk Projek Rua Al Madinah yang terletak di sebelah Timur Al-Masjid Al-Nabawi, di samping membuka peluang untuk pelaburan dua hala di NBD.
Sempena Perbadanan TAIB memperingati 35 tahun perkhidmatannya, perjanjian-perjanjian ini mencerminkan komitmennya dalam membina kerjasama strategik yang meluaskan jangkauannya ke luar NBD serta mengukuhkan hubungan antara NBD dan Kerajaan Arab Saudi.
Usaha ini juga bertujuan menyediakan lebih banyak peluang kepada rakyat NBD untuk merealisasikan hasrat mereka dalam menunaikan perjalanan suci haji dan umrah.