Siaran Akhbar dan Foto : Mantan guru Sekolah Rendah Dato Marsal 1991-1998
BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 4 Oktober. - Mantan guru Sekolah Rendah Dato Marsal (SRDM) bagi 1991 hingga 1998, baru-baru ini telah mengadakan Sambutan Maulidur Rasul dan Hari Guru 1448 Hijrah / 2026 Masihi dalam suasana penuh ukhuwah di Rasa Ceria Café, Telanai Avenue.
Majlis berkenaan turut diserikan dengan kehadiran tetamu khas, iaitu Awang Haji Sikun bin Rayun, mantan Guru Besar SRDM, yang telah memimpin sekolah dengan penuh dedikasi dan menjadi inspirasi kepada warga sekolah.
Majlis yang dianjurkan atas inisiatif Komiti Ad Hoc SRDM dengan sokongan warga guru berkenaan dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Awang Muhaimin bin Haji Md. Noor dan diniatkan sebagai sedekah pahala kepada guru-guru SRDM yang telah kembali ke rahmatullah.
Majlis diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengerusi Komiti Ad Hoc, Awang Haji Othman bin Abd. Rahman, yang antara lain mengimbas kembali beberapa aktiviti kebajikan dan silaturahim yang telah dilaksanakan sejak tertubuhnya komiti berkenaan.
Antara aktiviti yang telah dianjurkan katanya lagi ialah Majlis Reunion pertama pada 15 Julai 2023, diikuti dengan Majlis Bacaan Tahlil dan Doa Arwah khusus untuk guru-guru SRDM yang telah kembali ke rahmatullah.
Selain itu tambahnya, inisiatif mencetak buku Yaas Siin dan dikir hasil kutipan daripada warga SRDM 1991 hingga 1998 telah dilaksanakan dan diinfakkan kepada sekolah serta masjid- masjid dan surau- surau dalam dan luar negeri.
"Usaha kebajikan diperluaskan melalui inisiatif membantu meringankan beban anak-anak yatim. Setakat ini, bantuan telah disalurkan kepada anak-anak yatim di SRDM, Sekolah Rendah Sultan Abdul Bubin, Sungai Besar; dan Sekolah Rendah Kapok.
"Di samping itu, sumbangan kutipan kilat juga diadakan bagi membantu keluarga guru-guru yang telah kembali ke rahmatullah sebagai tanda keprihatinan dan solidariti sesama warga pendidik," ujarnya lagi.
Seterusnya Sambutan Maulidur Rasul sempena memperingati Hari Keputeraan, perjuangan, dan sirah kehidupan Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam disemarakkan lagi dengan suasana laungan dikir dan diikuti dengan lagu 'Guru Oh Guru' sempena Sambutan Hari Guru tahun ini.
Semua guru-guru telah berbagi rezeki dan masing-masing menerima cenderamata kenang-kenangan.
Pertemuan sebegini bukan sekadar menjadi medan untuk mengenang kembali kenangan ketika bersama-sama berkhidmat, malah pertemuan seperti berkenaan menjadi ruang untuk bersilaturahim, bertanya khabar, berkongsi kenangan, dan pada masa yang sama melakukan perkara-perkara yang memberi manfaat kepada orang lain.
Bagi warga SRDM 1991 hingga 1998, kegiatan kebajikan dan keagamaan yang dilaksanakan bukan sekadar untuk mengisi masa lapang, tetapi diharapkan menjadi amal kebajikan dan saham akhirat yang akan terus mengalir pahalanya.
Semoga ukhuwah yang telah terbina sekian lama terus subur dan segala usaha kebajikan yang dilaksanakan mendapat keberkatan serta ganjaran daripada Allah Subhanahu Wata'ala.