Siaran Akhbar dan Foto : Pasukan Polis Diraja Brunei
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 29 September. - Dalam usaha mempertingkatkan kesedaran dan inisiatif membenteras jenayah pemerdagangan orang di Negara Brunei Darussalam (NBD), Unit Siasatan Pemerdagangan Manusia (USPM) daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah memberikan taklimat jerayawara mengenai Jenayah Pemerdagangan Orang kepada kakitangan Kedutaan Republik Sosialis Viet Nam di Negara Brunei Darussalam bertempat di Jalan Telanai, Bandar Seri Begawan pada 24 September 2026.
Objektif utama taklimat diadakan adalah untuk mendidik serta memberi kesedaran kepada peserta yang hadir tentang kaedah-kaedah dalam mengetahui mangsa yang berpotensi terlibat dalam jenayah pemerdagangan di negara ini.
Kakitangan kedutaan adalah disarankan untuk sentiasa berwaspada dan mengenal pasti identiti individu yang mana berkemungkinan terjebak dan dieksploitasi untuk menjadi mangsa pemerdagangan manusia.
Kerjasama pihak kedutaan sebagai agensi yang berkepentingan adalah diperlukan untuk memainkan peranan serta mengatasi masalah pemerdagangan manusia dalam sama-sama membantu PPDB memerangi jenayah ini.