Program memperkasa persekitaran inklusif, mesra autisme

25 Sep 2026 - 12:55am

Siaran Akhbar dan Foto : Universiti Islam Sultan Sharif Ali

 

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 24 September. - Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Pejabat Inisiatif Global dengan kerjasama Universitas Pembangunan Nasional ‘Veteran’ Jawa Timur (UPNVJT), Surabaya, Republik Indonesia telah mengadakan program khidmat masyarakat yang dilaksanakan di SMARTER EDGE Brunei, Kampung Mata-Mata, Gadong.

Program berkenaan disertai oleh beberapa pelajar UPNJVT Surabaya, Republik Indonesia termasuk pegawai dan kakitangan Pejabat Inisiatif Global, UNISSA serta Ketua Pakar Terapi di SMARTER EDGE Brunei, Awang Abdul Qawi bin Dr. Haji Roslan.

Antara pengisian program termasuk aktiviti rangsangan deria (sensori), pembelajaran matematik, sesi bahasa dan seni, diikuti dengan waktu santapan snek serta aktiviti senaman aerobik.

Aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan memfokuskan kepada mewujudkan persekitaran inklusif dan mesra autisme yang menyokong perkembangan, pertumbuhan, serta pemerkasaan golongan ini.

Kerjasama erat ini bertujuan untuk memastikan persekitaran pembelajaran kekal selesa, kondusif, dan selamat bagi kanak-kanak terbabit sepanjang aktiviti berlangsung. Selain membantu aspek pengajaran, program ini memberi peluang kepada para pelajar untuk berinteraksi dan berkomunikasi secara langsung dengan kanak-kanak autisme.

Ini merupakan usaha berterusan UNISSA dan UPNJVT dalam membina masyarakat yang lebih peka, berpengetahuan dan bersedia membantu.

Pengalaman ini sekali gus membuka ruang kepada mahasiswa dan mahasiswi untuk mempertingkat kefahaman dan kepekaan yang lebih mendalam terhadap kepelbagaian gaya komunikasi serta keperluan pembelajaran khusus dalam kalangan kanak-kanak autisme.