Siaran Akhbar dan Foto : Nuqra Math Learning Centre
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 24 September. - Nuqra Math Learning Centre dengan kerjasama CheMan Congak Math baru-baru ini telah berjaya menganjurkan Bengkel Genius Sifir Tour 4.0 bertemakan 'Mathematics Outreach Program : Reinforcement of Four Basic Operation' di Sekolah Rendah Kampung Mata-Mata, Gadong yang menghimpunkan kira-kira 60 peserta, terdiri daripada ibu bapa serta murid-murid.
Program yang disampaikan oleh CheMan Congak Math berkenaan bertujuan untuk membantu mengukuhkan penguasaan operasi asas Matematik di samping meningkatkan keyakinan pelajar dalam menyelesaikan pengiraan dan masalah Matematik.
Perkongsian berkenaan membimbing para peserta menggunakan teknik pengiraan yang mudah, cepat dan praktikal. Para peserta turut didedahkan kepada pendekatan pembelajaran yang lebih positif dan menyeronokkan bagi membantu mereka memahami konsep Matematik serta meningkatkan keyakinan dalam menyelesaikan soalan.
Sepanjang program, para pelajar diberi peluang untuk mencuba sendiri teknik-teknik pengiraan yang dikongsikan, khususnya melibatkan empat operasi asas Matematik terutamanya tambah, tolak dan bahagi.
Penglibatan ibu bapa dan penjaga turut menjadi sebahagian penting dalam program berkenaan bagi memberi pendedahan tentang cara menyokong pembelajaran Matematik anak-anak di rumah.
Penganjuran Bengkel Genius Sifir Tour 4.0 berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Nuqra Math Learning Centre dan CheMan Congak Math dalam memperkukuh asas Matematik dalam kalangan pelajar serta membina keyakinan mereka untuk menghadapi pembelajaran Matematik dengan lebih positif.
Nuqra Math Learning Centre merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak pentadbiran Sekolah Rendah Kampung Mata-Mata, Gadong, para guru, ibu bapa, penjaga serta semua peserta atas sokongan dan kerjasama yang diberikan dalam menjayakan program ini.
Diharapkan program seumpama berkenaan dapat terus memberi manfaat dalam membantu meningkatkan penguasaan asas Matematik dalam kalangan pelajar.