Berita dan Foto : Siti Rokiah Abdullah
TEMBURONG, Ahad, 4 Oktober. - Program Khidmat Bakti Negara (PKBN) terus memainkan peranan penting dalam membentuk disiplin, meningkatkan ketahanan mental dan fizikal serta memupuk keyakinan diri dalam kalangan belia, sekali gus mempersiapkan mereka untuk menghadapi cabaran kehidupan dan alam pekerjaan.
Menerusi temu bual bersama para pelatih dan ibu bapa yang ditemui semasa Hari Keluarga bersama pelatih PKBN bersama keluarga yang diadakan pagi tadi bertempat Kem Latihan PKBN, Batu Apoi, di sini, program berkenaan dilihat bukan sahaja memberi pendedahan kepada latihan fizikal dan kawad, malah turut membentuk keperibadian, sikap berdikari serta semangat tanggungjawab dalam kalangan pelatih.
Dayang Siti Hajah Narimah binti Haji Dollah, yang berasal dari Kampung Mumong, Kuala Belait, berkongsi penyertaan anak beliau, iaitu Dayang Siti Fitriah binti Haji Hamri dalam Program Rintis PKBN yang diadakan selama enam bulan, merupakan satu kebanggaan, lebih-lebih lagi apabila anaknya berpeluang menimba pengalaman dan latihan dalam bidang yang diminatinya, khususnya pasukan beruniform.
Menurutnya, minat anaknya terhadap bidang beruniform menjadi antara salah satu faktor yang mendorong beliau menggalakkan penyertaan berkenaan, selain melihat PKBN sebagai peluang untuk menimba pengalaman baharu dan mempersiapkan diri bagi menghadapi alam pekerjaan.
Dayang Siti Hajah Narimah turut menzahirkan rasa gembira melihat perkembangan dan kemajuan yang ada dalam diri anaknya, terutama dari segi disiplin, ketegasan, menepati masa dan semangat sepanjang mengikuti latihan.
"Saya berharap melalui latihan yang diberikan, anak saya akan menjadi lebih cergas, tegas, lebih yakin dan sentiasa siap siaga.
"Saya juga berharap segala pengalaman yang beliau perolehi sepanjang mengikuti latihan PKBN akan membuatkan beliau lebih bersedia untuk menceburi bidang yang diminatinya," ujarnya lagi.
Sementara itu, Dayang Siti Fitriah yang berusia 20 tahun berkata walaupun rutin harian dan jadual yang agak padat sepanjang menjalani latihan, sedikit pun tidak melemahkan semangatnya untuk terus memberikan yang terbaik. Selain itu, program dan latihan yang diikuti juga telah banyak mengajarnya tentang kepentingan disiplin, pengurusan masa dan kerjasama berpasukan.
Selain mengikuti latihan kawad katanya lagi, antara rutin harian yang dilalui termasuk bangun seawal pukul 4.00 pagi untuk menunaikan Sembahyang Fardu Subuh, diikuti latihan jasmani, aktiviti sukan termasuk aktiviti keagamaan.
Mempunyai minat yang mendalam menceburi pasukan beruniform, Dayang Siti Fitriah turut berusaha memberikan prestasi terbaik sepanjang mengikuti latihan terutama dalam latihan kawad dengan harapan beliau akan berpeluang untuk terpilih sebagai ketua platun yang bertanggungjawab memberikan arahan kepada anggota pasukan.
"Selain meningkatkan kecergasan fizikal, aktiviti berenang, larian dan pengisian kerohanian, para pelatih juga berpeluang untuk mengikuti tazkirah agama yang diadakan setiap malam Khamis dan ia turut memberi pengalaman bermakna sepanjang mengikuti program berkenaan," ujarnya lagi.
Dalam pada itu, abang kepada Dayang Nur Faten Izzatul Sya'irah binti Abdul Latif, iaitu Awang Muhd. Israq Salahuddin bin Abdul Latif, meluahkan rasa syukur dan gembira apabila mengetahui adiknya terpilih untuk mengikuti Program Rintis PKBN.
Menurutnya, Dayang Nur Faten Izzatul Sya'irah yang merupakan pelatih pertama dalam kalangan adik-beradiknya menyertai PKBN dan menyifatkan program berkenaan sebagai peluang berharga untuk memanfaatkan masa lapang, peluang berharga untuk menimba ilmu dan memperoleh pengalaman baharu.
Awang Muhd. Israq Salahuddin turut mengongsikan antara perubahan yang ketara sejak adiknya mengikuti program berkenaan ialah peningkatan dari segi disiplin dan kemampuan menguruskan kehidupan seharian, termasuk menyediakan pakaian sendiri serta membiasakan diri bangun awal pagi.
Pada masa yang sama, beliau juga menasihatkan Dayang Nur Faten Izzatul Sya'irah agar sentiasa tabah dalam mengharungi segala cabaran yang dihadapi termasuk ketahanan mental dan fizikal yang merupakan antara cabaran utama sepanjang hampir dua bulan mengikuti latihan.
Awang Muhd. Israq Salahuddin juga berharap agar adiknya boleh menyesuaikan diri dengan rutin harian yang mencabar serta memupuk semangat kerjasama bersama rakan-rakan pelatih yang lain.
Manakala, Dayang Nur Faten Izzatul Sya'irah turut berkongsi pengalaman bergaul dengan rakan-rakan daripada keempat-empat buah daerah juga membuka peluang kepadanya untuk mengenali kepelbagaian latar belakang dan cara percakapan, sekali gus memupuk semangat persahabatan serta persefahaman dalam kalangan pelatih.
Beliau berharap segala pengalaman yang diperoleh, khususnya dari segi disiplin dan ketahanan mental serta fizikal, akan terus diamalkan selepas menamatkan program berkenaan agar dapat menjadi individu yang lebih berguna kepada keluarga dan masyarakat.
Sementara itu, Awang Haji Morni bin Haji Serudin, iaitu bapa kepada salah seorang pelatih PKBN, Awang Ar Rizqi Al Bukhory, turut menyifatkan program berkenaan sebagai platform yang baik untuk membentuk jati diri dan meningkatkan keyakinan golongan belia.
Menurutnya, latihan yang dijalani pada peringkat awal sememangnya mencabar dan memerlukan penyesuaian, terutama dari segi fizikal dan mental.
Bagaimanapun, beliau yang mempunyai pengalaman mengikuti latihan seumpamanya berpendapat bahawa cabaran pada peringkat awal akan menjadi lebih mudah apabila pelatih mula membiasakan diri dengan rutin serta disiplin yang diterapkan.
Sehubungan itu, Awang Haji Morni sentiasa memberikan dorongan dan nasihat kepada anaknya supaya terus tabah, bersemangat serta tidak mudah berputus asa dalam meneruskan latihan sehingga tamat.
Beliau juga melihat perubahan positif pada diri anaknya, terutama dari segi penampilan dan cara berkomunikasi, yang mencerminkan perkembangan keyakinan diri sepanjang mengikuti program berkenaan.
Awang Haji Morni turut menghargai kemudahan yang disediakan sepanjang program berkenaan yang memberi peluang kepada para pelatih untuk menjalani latihan dalam suasana yang teratur serta memperoleh pengalaman berharga.
Secara keseluruhannya, pengalaman yang dikongsikan oleh para pelatih dan ibu bapa memperlihatkan bahawa PKBN bukan sekadar program latihan, malah menjadi wadah dalam membina generasi belia yang berdisiplin, berdaya tahan, berdikari dan berkeyakinan.
Melalui gabungan latihan fizikal, pembentukan mental, pengisian kerohanian serta interaksi sosial, program berkenaan diharap dapat melahirkan belia yang mampu mengaplikasikan nilai-nilai positif yang dipelajari dalam kehidupan seharian, sekali gus menyumbang kepada keluarga, masyarakat dan negara.