Program Sivik dedahkan peserta kepada warisan budaya, makanan tradisi

25 Sep 2026 - 12:41am

Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi 

Foto : Azmah Haji Ahad

JERUDONG, Khamis, 24 September. – Program Sivik Negara Brunei Darussalam Kali Kedua bagi Tahun 2025/2026 bukan sahaja menjadi wadah untuk menyemai semangat kenegaraan dalam kalangan peserta, malah turut membuka ruang untuk mengenali dengan lebih dekat khazanah budaya dan makanan tradisi Majlis Perundingan Kampung (MPK) Jerudong 'B' hari ini.

Program anjuran Jabatan Penerangan melalui Unit Kenegaraan, Seksyen Kenegaraan dan Kemasyarakatan, Bahagian Komunikasi Strategik berkenaan turut membawa para peserta mengenali produk Satu Kampung Satu Produk (1K1P) yang diusahakan oleh MPK berkenaan di Pantai Siandang, Jerudong, di sini.

Menerusi aktiviti berkenaan, para peserta berpeluang menyaksikan sendiri proses pembuatan kelupis, bermula daripada proses mendadih sehingga kepada kaedah membungkus makanan tradisi berkenaan.

Selain itu, para peserta turut diperkenalkan dengan pelbagai kuih tradisional Brunei, antaranya Dalamu, Sumbui-Sumbui, Lapat dan Lamban, sekali gus memberi pengalaman secara langsung mengenai keunikan makanan warisan yang masih dipelihara oleh masyarakat tempatan.

Aktiviti permainan gasing turut diketengahkan oleh MPK Jerudong 'B' sebagai salah satu warisan permainan tradisional yang perlu terus diperkenalkan kepada generasi muda.

Penglibatan para peserta dalam aktiviti berkenaan bukan sahaja memberikan pengalaman kepada mereka, malah membuka ruang untuk memahami kepentingan memastikan permainan tradisional dan warisan budaya tidak luput di telan zaman.

Pegawai Penerangan, Dayang Mufidah binti Abdul Hakim selaku Timbalan Setiausaha Program berkenaan semasa ditemu bual berkata, salah satu aktiviti yang disusun atur ialah Kempen Kebersihan di Pantai Siandang dan aktiviti bersama MPK Kampung Jerudong 'B'.

Menurutnya lagi, aktiviti berkenaan bertujuan untuk mengeratkan silaturahim bersama masyarakat kampung, di samping memberi pendedahan kepada para peserta agar dapat mengenali dengan lebih dekat permainan, makanan dan warisan tradisional masyarakat Brunei.

Tambahnya, para peserta program berpeluang mempelajari cara bermain gasing, mendadih dan menjalin kelupis, serta membuat kuih Dalamu. Melalui aktiviti berkenaan, para peserta bukan sahaja memperoleh pengalaman baharu, malah dapat berinteraksi dan bertukar pengetahuan secara langsung dengan masyarakat kampung.

Kempen Kebersihan yang dijalankan pula jelasnya lagi, dapat memupuk sikap bertanggungjawab dan semangat kerjasama dalam kalangan peserta, khususnya dalam menjaga kebersihan dan memelihara alam sekitar.

Dayang Mufidah seterusnya berharap, pengalaman yang diperoleh dapat meningkatkan kesedaran para peserta mengenai peranan mereka dalam memelihara warisan, menjaga alam sekitar dan menyumbang kepada masyarakat.

Program seumpama berkenaan sekali gus memperlihatkan bahawa penghayatan sivik bukan hanya melalui pemahaman mengenai tanggungjawab sebagai rakyat, tetapi turut diterjemahkan melalui penglibatan secara langsung dalam masyarakat, pemeliharaan alam sekitar serta usaha mempertahankan identiti dan warisan bangsa.

Warisan yang diperkenalkan hari ini bukan sekadar untuk dikenang, tetapi untuk terus dihidupkan, diwariskan dan dipertahankan oleh generasi kita pada masa sekarang dan juga yang akan datang.