Oleh : Saerah Haji Abdul Ghani
Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 26 September. - Program Sivik Negara Brunei Darussalam Kali Kedua bagi Tahun 2025/2026 menutup tirainya petang tadi dengan Majlis Penyampaian Sijil kepada para peserta yang berlangsung di Dewan Auditorium, Jabatan Penerangan.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan sijil-sijil kepada para peserta ialah Pemangku Pengarah Penerangan, Awang Haji Fathi Foad bin Dato Seri Setia Haji Abu Bakar.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat oleh peserta program, Awang 'Abdul Majid bin Haji Shazli yang merupakan graduan dari Universiti Al-Azhar Mesir.
Sementara itu, Ketua Peserta Program Sivik, Awangku Mohammad Ammar Zakwan bin Pengiran Mohammad Ariffin, yang merupakan graduan dari Universiti Teknologi Brunei (UTB) dalam ucapannya antara lain menyatakan bahawa para peserta telah menjalani satu perjalanan yang amat bermakna dan penuh dengan pengajaran berharga melalui taklimat dan lawatan sepanjang program ini. Pengisian program ini amat menyeluruh dan komprehensif, merangkumi aspek kenegaraan, keagamaan, kemasyarakatan dan ekonomi yang menyokong pencapaian Wawasan Brunei 2035.
Sepanjang program ini, para peserta berpeluang mendengarkan taklimat daripada Jabatan Penerangan, Pasukan Polis Diraja Brunei, Pejabat Sekretariat Majlis Tertinggi Melayu Islam Beraja, Kementerian Pendidikan, Jabatan Hal Ehwal Syariah, Kementerian Hal Ehwal Ugama; Jabatan Adat Istiadat Negara (JAIN) dan Empowerior Academy & Consultancy.
Para peserta juga mengikuti aktiviti kerja berkumpulan (team building) kendalian Jabatan Belia dan Sukan; sesi perkongsian bersama usahawan dan pencipta kandungan tempatan, serta mengadakan lawatan ke beberapa institusi dan organisasi seperti Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Tentera Laut Diraja Brunei, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan Anson International Sdn. Bhd., Pulau Muara Besar.
Sebagai usaha untuk memupuk kesedaran sivik dan semangat kesukarelawanan dalam kalangan peserta, program ini turut menyelitkan aktiviti kemasyarakatan dengan mengadakan kempen kebersihan di Pantai Siandang, Jerudong diikuti dengan aktiviti bersama masyarakat Kampung Jerudong 'B', antaranya permainan gasing serta pembuatan makanan tradisional seperti kelupis dan Dalamu.
Di samping memberikan kefahaman dan maklumat mengenai falsafah, aspirasi dan matlamat negara, program ini juga dirancang untuk mempersiapkan generasi masa hadapan sebelum mereka melangkah ke alam pekerjaan dengan memberikan pendedahan tentang nilai-nilai kenegaraan, kepimpinan dan tanggungjawab sosial.
Selain itu, program ini dihasratkan dapat memberikan pengalaman baharu kepada para peserta, termasuk memperkenalkan mereka kepada perbezaan sosiobudaya, fahaman dan adat resam yang boleh mempengaruhi gaya hidup mereka.
Turut hadir, pegawai-pegawai dari Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri dan juga ibu bapa serta penjaga.
Para peserta program kali ini terdiri daripada lepasan ijazah dan mahasiswa / mahasiswi dari Kementerian Pendidikan, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah serta mahasiswa-mahasiswi dari institut pengajian tempatan dan yang menjalani penempatan kerja di jabatan ini.