Oleh : Nurdiyanah Rajami
Foto : Nurdiyanah Rajami, ihsan Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong
TUTONG, Sabtu, 26 September. - Sempena Sambutan Jubli Intan 60 Tahun Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong (MHBPT), Majlis Ceramah Khas Perhimpunan Muslimah telah diadakan pagi tadi bertempat di Dewan Solat Utama, MHBPT.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah isteri kepada Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama, Datin Norazimah binti Haji Ramlee.
Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh tetamu kehormat majlis.
Ceramah bertajuk 'Saat Hati Lelah, Kembalilah Kepada Allah' disampaikan oleh Guru Ugama Terlatih, Bahagian Penyebaran Da'wah (Kaunseling), Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Dayang Siti Noraini binti Haji Mohd. Hashim selaku penceramah undangan.
Fokus utama ceramah tersebut adalah mengenai konsep sabar, reda dan tawakal sebagai penawar utama dalam mengatasi kelesuan jiwa (emotional burnout) dan ketekanan hidup.
Ceramah turut menekankan keperluan untuk memperkukuhkan pergantungan kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan menjadikan solat, Al-Quran, zikir dan doa sebagai benteng utama apabila menghadapi pelbagai ujian.
Sebagai hamba Allah Subhanahu Wata'ala, kita perlu mengubah persepsi terhadap ujian dengan lebih memahami hikmah di sebalik setiap kesedihan dan cabaran serta melihatnya sebagai tanda kasih sayang Allah Subhanahu Wata'ala untuk mengangkat darjat hamba-Nya. Emosi dan kesihatan mental perlu diurus dan ditangani berdasarkan pandangan serta tuntutan Islam.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh pegawai-pegawai dan kakitangan kerajaan, Muslimah dari masjid-masjid di sekitar Daerah Tutong dan orang ramai.
Majlis diakhiri dengan penyampaian cenderahati kepada Penceramah Undangan dan tetamu kehormat majlis yang disampaikan oleh Pengerusi Majlis Ceramah Khas Perhimpunan Muslimah Sempena Sambutan Jubli Intan MHBPT, Dayang Hajah Zainun binti Haji Md. Daud.
Bagi memohon keberkatan majlis, bacaan doa dipimpin Penyelia Hal Ehwal Muslimah, Jawatankuasa Takmir MHBPT, Dayang Haziqah Najwa binti Haji Ibrahim.
Sehubungan itu, Pameran Khas Jubli Intan 60 Tahun MHBPT dibukakan bagi kunjungan orang ramai selama tiga hari berturut-turut, bermula Jumaat, 25 September 2026 pada pukul 2.00 petang hingga 9.00 malam; Sabtu, 26 September 2026 bermula pukul 8.00 pagi hingga 9.00 malam; dan Ahad, 27 September 2026 bermula pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang.
Beberapa program dan aktiviti seperti Ceramah Khas Muslimah, Program Bicara Belia, tazkirah, peraduan mewarna untuk kanak-kanak, jualan Food Truck peniaga-peniaga tempatan turut berlangsung di sepanjang tiga hari acara sambutan tersebut.
Bagi tujuan untuk mengimarahkan Sambutan Jubli Intan 60 Tahun MHBPT, pelbagai program dan aktiviti telah diadakan sejak awal tahun 2026 ini antaranya, Forum Perdana, aktiviti Riadah 'Fun Run', Bengkel Wudhu, Program Belia dan Kempen Kebersihan.
MHBPT dirasmikan pada Jumaat, 26 Ogos 1966 oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam (yang pada waktu itu memegang gelaran Yang Teramat Mulia Seri Paduka Duli Pengiran Muda Mahkota Hassanal Bolkiah).
Sebagai sebuah masjid utama di Daerah Tutong, MHBPT ini bukan sahaja berperanan sebagai sebuah tempat beribadat semata-mata, tetapi juga dimanfaatkan untuk pelbagai program dan aktiviti bagi memperkukuh hubungan antara penduduk dan masyarakat serta tumpuan bagi acara-acara keraian dan sambutan hari-hari kebesaran Islam dan negara.