Berita dan Foto : Ihsan Sekolah Menengah Raja Isteri Pengiran Anak Saleha
TUTONG, Khamis, 24 September. - Sekolah Menengah Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (SM RIPAS) mengadakan Majlis Solat Hajat dan Bacaan Surah Yaa Siin bagi pelajar Tahun 8 dan Tahun 11 yang bakal menduduki Peperiksaan SPE serta BC GCE ‘O’ Level / IGCSE 1448 Hijrah / 2026 Masihi.
Majlis Solat Hajat yang berlangsung di Masjid Pengiran Muda Abdul Wakeel, Kampung Kiudang, Tutong, itu dimulakan dengan Sembahyang Fardu Maghrib Berjemaah yang diimamkan oleh Imam Masjid Kampung Kiudang, Awang Abdul Raqib bin Haji Awang.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan Sembahyang Sunat Hajat, bacaan Surah Yaa Siin dan Doa Hajat sebelum diakhiri dengan Sembahyang Fardu Isyak Berjemaah.
Turut hadir ialah pemimpin sekolah, guru-guru, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), serta ibu bapa dan penjaga yang bersama-sama memberikan sokongan dan mendoakan kejayaan para pelajar.
Majlis tersebut bukan sahaja menjadi wadah untuk memohon keberkatan dan dipermudahkan urusan para pelajar dalam menghadapi peperiksaan, malah turut memperlihatkan kesepaduan usaha antara pihak sekolah, guru, PIBG serta ibu bapa dan penjaga dalam memberikan sokongan menyeluruh kepada pelajar.
Semoga ikhtiar dan doa yang dipanjatkan menjadi sumber kekuatan serta membuahkan hasil yang membanggakan bagi para pelajar SM RIPAS dalam menghadapi peperiksaan yang bakal ditempuhi.