SMR raih tempat ketiga dalam SEAMEO-Japan ESD Award

26 Sep 2026 - 5:06am

Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Pendidikan  

BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 25 September. – Kementerian Pendidikan melalui Pusat Kerjasama Sains, Teknologi dan Alam Sekitar (Pusat STEP) telah menyelaras penyertaan sekolah-sekolah di Negara Brunei Darussalam ke Pertandingan SEAMEO-Japan ESD bagi tahun 2026.

Daripada penyertaan tersebut, Sekolah Menengah Rimba (SMR) telah berjaya meraih tempat ketiga dalam SEAMEO-Japan Education for Sustainable Development (ESD) Award 2026 menerusi projek pelajar yang bertajuk, ‘RimbaScan: From Using AI to Thinking with AI – Student-Built Offline AI for Plant Learning, Human Agency and Sustainable Futures.’

Anugerah SEAMEO-Japan ESD bagi tahun 2026 bertemakan ‘Learning and Well-being for Sustainable Futures: Leveraging the Power of AI’ dianjurkan oleh Southeast Asian Ministers of Education Organization (SEAMEO) dengan kerjasama Ministry of Education, Culture, Sports, Science and Technology (MEXT), Jepun serta sokongan UNESCO Bangkok.

Sebanyak 160 buah sekolah daripada sembilan buah negara Asia Tenggara telah menyertai pertandingan ini, dengan tujuh buah sekolah terpilih ke peringkat akhir yang merangkumi pembentangan dan sesi soal jawab secara dalam talian.

Projek RimbaScan dicipta dan dikembangkan oleh pelajar-pelajar SMR iaitu Ahmad Khairi Zakwan bin Haji Muhd Marzuki, Md Noor Ghazi Afif bin Md Noor Faizan, Muhammad Danny Daniel bin Abdullah dan Ahmad Razeen bin Adi Shahreen, di bawah bimbingan Pegawai Pelajaran sekolah tersebut, Lena Ang Yan Ping.

Prinsip utama RimbaScan ialah AI menyokong pertimbangan manusia dan bukan menggantikannya. Dalam aktiviti pembelajaran, pelajar terlebih dahulu membuat pemerhatian dan ramalan sendiri sebelum menggunakan AI.

Mereka kemudiannya membandingkan keputusan AI dengan bukti, menilai tahap keyakinan, membuat pengesahan apabila diperlukan dan membuat keputusan akhir berdasarkan pertimbangan sendiri. Pendekatan ini membantu memupuk pemikiran kritis, penggunaan bukti, keyakinan diri, agensi manusia serta kefahaman yang bertanggungjawab terhadap keupayaan dan batasan AI.

Pendekatan tersebut selaras dengan tema SEAMEO-Japan ESD Award 2026 yang menekankan penggunaan AI secara beretika dan berhemah bagi memperkukuh pembelajaran dan kesejahteraan, di samping menangani cabaran kelestarian dunia sebenar. Anugerah ini turut memberi penekanan kepada kepimpinan pelajar, kerjasama komuniti, kesinambungan serta impak yang dapat ditunjukkan.

Pengiktirafan SEAMEO-Japan ESD Award 2026 ini menjadi satu lagi pencapaian penting dalam perkembangan berterusan RimbaScan. Pasukan projek merancang untuk memperluaskan pelaksanaan di bilik darjah, memperkukuh pengesahan bersama petani dan pakar, membangunkan lebih banyak bahan pembelajaran berkaitan tanaman dan biodiversiti serta menghasilkan sumber pengajaran yang boleh digunakan oleh kumpulan pelajar pada masa akan datang.

Kejayaan ini menyusuli beberapa pencapaian terdahulu RimbaScan sejak mula diciptakan pada tahun 2025 di peringkat kebangsaan, serantau dan antarabangsa, antaranya ialah pengiktirafan dalam ASEAN Youth Camp 2025 AI Hackathon for Green Sustainability, Merit Award dalam Kategori Sekolah Menengah Brunei ICT Awards (BICTA) 2025, tempat keempat dalam pertandingan anjuran Pusat STEP R.E.A.L. Learning Competition 2025, dua Pingat Gangsa dalam Kategori Special Award for the Application of STEM Concepts dan Special Award for Commercial Potential di 14th Regional Congress Search for SEAMEO Young Scientists Programme 2025/2026, dan Merit Award dalam Kategori Sekolah Menengah BICTA 2026 menerusi Projek RimbaScan 2.0: Smart AI Plant Assistant.