Siaran Akhbar dan Foto : Universiti Islam Sultan Sharif Ali
DEGGENDORF, REPUBLIK PERSEKUTUAN JERMAN, Sabtu, 26 September. - Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) baru-baru ini menyertai World University Rankings for Innovation (WURI) Global Conference 2026 yang berlangsung selama tiga hari, dari 23 hingga 25 September 2026 di Deggendorf Institute of Technology (DIT), Republik Persekutuan Jerman.
Delegasi terdiri daripada Rektor UNISSA, Profesor Madya Dr. Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani, dan Ketua Unit Pengiktirafan dan Pengkorporatan, Pusat Pembangunan Strategik dan Kelestarian (CerDaS), Dr. Zulamali @ Abdul Aziz bin Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Matassan.
Penyertaan tersebut merupakan kesinambungan daripada pencapaian UNISSA dalam WURI 2026, susulan pengumuman keputusan pada 7 Mei 2026 lalu sempena 6th Hanseatic League of Universities (HLU) Annual Conference dan WURI Global Rankings 2026 yang berlangsung di Taiwan.
Dalam penyertaan kali kelima tersebut, UNISSA berjaya menduduki tempat ke-147 secara keseluruhan di peringkat global, selain mencatat pencapaian dalam beberapa kategori utama, iaitu tempat ke-29 bagi kategori Industrial Application, ke-44 bagi Inclusive Social Innovation for the Underserved, ke-79 bagi Representative Research Project dan ke-82 bagi AI-Based Teaching and Learning Transformation.
Persidangan turut melibatkan sesi mesyuarat dan perbincangan tiga rangkaian utama, iaitu The World University Network of Innovators for Presidents (WUNI-P), The World University Network of Innovators for Leaders (WUNI-L) dan The World University Network of Innovators for Experts (WUNI-E).
Dalam Rangkaian WUNI-P, Rektor UNISSA telah dilantik sebagai Naib Pengerusi Lembaga bagi sesi 2026 / 2027.
Dalam pada itu, Rektor UNISSA turut mengadakan pertemuan empat mata bersama Pengasas WURI Foundation, Professor Dr. Dong-Sung Cho, bagi membincangkan cadangan kerjasama berskala global antara UNISSA dan WURI yang dirancang untuk dilaksanakan pada tahun 2027 di Negara Brunei Darussalam.
Cadangan kerjasama tersebut dihasratkan menjadi salah satu inisiatif UNISSA menyambut Hari Keputeraan Ke-81 dan Sambutan Jubli Intan Pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam selain menyokong aspirasi Tahun Melawat Brunei 2027.