12 pemain mara ke pusingan kejuaraan Baiduri Masters 2026

16 Og 2026 - 5:43am

Siaran Akhbar dan Foto : Bank Baiduri

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 15 Ogos. - Saingan Baiduri Masters 2026 semakin menghampiri kemuncaknya apabila 12 pemain terbaik mengesahkan tempat ke pusingan kejuaraan yang akan berlangsung esok di Pantai Mentiri Golf Club.

Selepas lima hari pusingan kelayakan yang penuh saingan, Awangku Mohd. Syakir Pengiran Alli muncul sebagai pendahulu menerusi catatan cemerlang 64 pukulan, sekali gus kekal sebagai skor terbaik yang dicatatkan sepanjang kejohanan tahun ini.

Bekas juara Baiduri Masters itu akan memulakan pusingan akhir dengan kelebihan lima pukulan dan berpeluang menambah satu lagi Jaket Hijau (Green Jacket) dalam koleksinya.

Mahendra Phagami berada di kedudukan kedua dengan 69 pukulan, diikuti Awang Zulhilmi Haji Rosli, Awang Johari Ahmad dan Awang Muhd. Irwan Haji Abd. Hamid yang masing-masing mencatatkan 70 pukulan.

Awang Haji Shahminan Haji Damit pula mencatatkan 71 pukulan, manakala juara bertahan, Lim Beng Keat kekal dalam persaingan dengan 72 pukulan bersama Awangku Muhd. Zaidan Pengiran Haji Ahmad Zaki, Marcel Leong dan Bryan Chiew. Dua tempat terakhir ke pusingan kejuaraan menjadi milik Awang Faiz Damit dan Awang Muhd. Harith Irfan Indera Putera yang masing-masing mencatatkan 73 pukulan.

Pusingan kejuaraan esok bakal menyaksikan barisan pemain berpengalaman berentap merebut gelaran, termasuk beberapa bekas pemenang Jaket Hijau, iaitu Awangku Mohd. Syakir, Awang Johari Ahmad dan Awang Muhd. Irwan, selain juara bertahan Lim Beng Keat.

Dengan 12 pemain terbaik kini telah dikenal pasti, kesemua finalis akan kembali beraksi untuk satu pusingan terakhir bagi merebut Jaket Hijau dan Challenge Trophy sekali gus menjanjikan penamat menarik bagi Baiduri Masters 2026.

Sementara itu, saingan kategori wanita turut mencuri perhatian apabila Dayang Almas Syadzwanie Kamis terus mendahului dan kini hanya selangkah lagi untuk meraih kejuaraan Baiduri Masters Ladies buat kali ketiga berturut-turut selepas muncul juara pada 2024 dan 2025.

Hadiah ‘hole-in-one’ pula masih belum dimenangi menjelang hari terakhir kejohanan. Para pemain masih berpeluang membawa pulang sebuah BMW X3 di Lubang 13, Porsche Macan EV di Lubang 16, MINI Cooper di Lubang 9 atau hadiah wang tunai BND20,000 di Lubang 7.

Beberapa pemain hampir mencatatkan ‘hole-in-one’ sepanjang kejohanan berlangsung, namun setakat ini belum ada yang berjaya melakukannya. Persaingan bagi Kategori Pukulan Terjauh (Longest Drive) juga masih terbuka. Catatan semasa ialah 96 meter ke pin bagi kategori lelaki dan 148 meter ke pin bagi Kategori Wanita.

Kategori Ladies’ Longest Drive yang diperkenalkan buat julung kalinya pada tahun ini turut menambah kemeriahan Baiduri Masters, dengan pemenang bagi kedua-dua kategori berkenaan bakal ditentukan pada pusingan terakhir esok.