Al-Mujaahidun FC perkemas persiapan hadapi saingan GIC 2026

4 Og 2026 - 6:05am

Siaran Akhbar dan Foto : Yakin Football League

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 3 Ogos. - Al-Mujaahidun FC rancak memasuki fasa akhir persiapan dengan memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap aspek kecergasan fizikal, taktikal serta keserasian antara pemain menjelang penyertaan ke persaingan Garuda International Cup (GIC) 2026 di Republik Indonesia.

“Kita gembira menyaksikan prestasi meningkat terutama dari segi taktik permainan. Sepanjang persiapan pasukan telah menumpukan latihan fizikal yang konsisten, mempraktikkan taktikal di samping membentuk mental dan disiplin yang tinggi atas padang dan luar padang,” jelas Ketua Jurulatih Al-Mujaahidun FC, Awang Muhamad Najib Daud selepas menyaksikan kemenangan besar 9-1 ke atas FC Phosphor pada perlawanan persahabatan di Padang UBD, di sini.

Menurutnya lagi, persiapan yang rapi dari segi mental dan fizikal amat penting bagi memastikan emosi ketika perlawanan yang boleh memberikan prestasi optimum di atas padang.

“Kejohanan Piala Presiden merupakan platform terbaik untuk pemain membuktikan kemampuan justeru setiap sesi latihan dilaksanakan dengan penuh fokus dan berintensiti tinggi,” tambahnya.

Beliau juga mengakui penyertaan di peringkat antarabangsa itu menjadi medan penting dalam pembangunan pemain muda serta memperkukuhkan reputasi Al-Mujaahidun FC sebagai sebuah pasukan yang kompetitif.

GIC 2026 akan menghimpunkan pasukan-pasukan bola sepak remaja antarabangsa itu dijangka disertai oleh 15 negara dengan pertandingan melibatkan Kategori Umur Bawah 10 Tahun (U-10), Bawah 12 Tahun (U-12) dan Bawah 15 Tahun (U-15) yang akan berlangsung di Padang Latihan ASIOP Jakarta dan Ayo Arena, Bogor, Indonesia.