ASEAN Futsal juara Kejohanan Futsal Piala Keputeraan 2026

21 Sep 2026 - 5:40am

Siaran Akhbar dan Foto : Urus Setia Liga Futsal Kebangsaan

BERAKAS, Ahad, 20 September. - Pasukan ASEAN Futsal menjuarai Kejohanan Futsal Piala Keputeraan 2026 selepas menewaskan Pasukan BK Sahabat X AR pada perlawanan akhir kejohanan berkenaan di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.

Pasukan ASEAN Futsal yang menjuarai Kumpulan ‘D’ menampilkan permainan yang menarik bermula daripada peringkat kumpulan dan pusingan kedua sebelum mara ke peringkat  suku dan separuh akhir sehingga berjaya menjinakkan Pasukan BK Sahabat X AR pada peringkat akhir.

Pasukan ASEAN Futsal berjaya membawa pulang trofi rebutan, trofi juara dan pingat individu serta menerima hadiah wang tunai berjumlah BND3,000 yang disampaikan oleh Pengerusi Bersama Kejohanan, Awang Thomas Koh Kok Pang.

Sementara itu, Pengerusi Bersama, Awang Firoz Khan Namroz Khan telah menyampaikan trofi kepada Pasukan BK Sahabat X AR yang juga menerima hadiah wang tunai sebanyak BND2,000 sementara Pasukan DS X Kota menduduki tempat ketiga dengan menerima BND1,000.

Anugerah Penjaring Terbanyak kejohanan telah dimenangi Adzman Jiril daripada Pasukan DS X Kota, Anugerah Goleiro telah dimenangi oleh Abdul Fakhrul Akram Abdul Halim daripada Pasukan ASEAN Futsal dan pemain lincah BK Sahabat X AR, Kairul Saukri diberi anugerah Pemain Terbaik.

Kejohanan dwitahunan itu disertai oleh 20 pasukan tempatan, termasuk pasukan-pasukan elit dari Republik Singapura dan Malaysia.

Kejohanan yang dinanti-nantikan itu juga menjadi salah satu kalender daripada acara-acara sukan bagi memeriahkan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80 bagi Peringkat Daerah Brunei dan Muara.