Atlet Catur negara mulakan saingan pada temasya SUKMA XXII

15 Og 2026 - 4:54am

Oleh : Srinarawie Bidzah

Foto : Ihsan Urus Setia kontinjen Negara Brunei Darussalam ke Sukan Malaysia XXII 2026

SELANGOR, MALAYSIA, Jumaat, 14 Ogos. - Pertandingan Catur pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXII 2026 bagi Kategori Standard Individu membuka tirai baru-baru ini dengan dua pusingan berlangsung di Dewan Sri Bernam.

Pada pusingan pertama, atlet Negara Brunei Darussalam (NBD), iaitu Awangku Abdul Wafie Ikhwan bin Pengiran Shahridin berjaya menewaskan Muhd. Airy Mohd. Fadly dari Perak dengan keputusan 1-0.

Sementara dalam pusingan kedua pula, Awangku Abdul Wafie Ikhwan sekali lagi turun beraksi, namun tewas 0-1 kepada Genivan FM Genkeswaran dari Selangor.

Dalam pada itu, Chef de Mission turut hadir ke arena pertandingan bagi memberikan sokongan moral dan semangat kepada para atlet yang sedang berjuang. Kehadiran beliau turut mencerminkan komitmen serta keprihatinan pihak pengurusan kontinjen terhadap kebajikan dan prestasi atlet sepanjang temasya SUKMA XXII 2026.

Atlet-atlet Catur negara mula bertanding pada Khamis, 13 Ogos 2026 bertempat di Dewan Seri Bernam dalam acara Individual Rapid dan Individual Standard.

NBD dalam temasya SUKMA XXII 2026 ini menyertai dalam 11 acara sukan yang dipertandingkan, iaitu Akuatik Renang, Badminton, Olahraga, Catur, Golf, Lawan Pedang, Karate, Pencak Silat, Sepak Takraw, Taekwondo dan Wushu.