Atlet Pencak Silat tampilkan aksi terbaik

16 Og 2026 - 5:32am

Oleh : Dk. Hajah Naqayatul Akma Pg. Haji Ali

Foto : Ihsan Urus Setia kontinjen Negara Brunei Darussalam ke Sukan Malaysia XXII 2026

 

SELANGOR, MALAYSIA, Sabtu, 15 Ogos. - Kejohanan Sukan Pencak Silat diteruskan pada hari kedua Sukan Malaysia (SUKMA) XXII dengan menyaksikan persaingan sengit dalam beberapa kategori melibatkan pesilat dari Negara Brunei Darussalam (NBD), Johor, Perak, Kedah dan Negeri Sembilan.

Sesi pertama yang berlangsung dari pukul 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari menyaksikan dua perlawanan Kategori Tunggal. Dalam Kategori Tunggal Lelaki, pesilat negara, Awang Muhammad Syafiq bin Haji Sufri tewas kepada Hadif Irfan bin Mustaffa Kamal dari Perak dengan keputusan 9.875 berbanding 9.925.

Dalam Kategori Tunggal Wanita, Siti Saleha binti Sulaiman dari Johor berjaya mengatasi Dayang Nursyakirah Mawaddah binti Mohd. Fauzi dari NBD dengan keputusan 9.885 berbanding 9.805.

Sesi petang pula menyaksikan aksi bagi Kategori Regu Wanita. Kontinjen NBD, yang dibarisi oleh Dayang Nursyahindah binti Saiful Rizal, Dayang Nursyahirah Mawaddah binti Lutfi dan Dayang Nursyakirah Mawaddah binti Mohd. Fauzi, berdepan pasukan Kedah yang terdiri daripada Nor Alya Najwa binti Azizan, Nur Afrina Nasrin binti Mohammad Nazri dan Puteri Ainul Mardhiah binti Mohd Irwan.

Hasil keputusan bagi Kategori Regu Wanita telah dimenangi oleh Kontinjen NBD dengan perolehan mata sebanyak 9.865 berbanding dengan 9.860 mata daripada Kontinjen Kedah.

Turut berlangsung pada sesi petang ialah perlawanan Kategori Kelas ‘A’ Lelaki antara Awang Muhammad Syafiq Ally bin Nudin dari NBD dengan Ali Imran bin Mohd Syakir dari Negeri Sembilan. Berdasarkan keputusan yang direkodkan, Awang Muhammad Syafiq Ally memperoleh 1 mata, manakala Negeri Sembilan mencatat 32 mata. Perlawanan tersebut kemudiannya direkodkan sebagai dihentikan.

Dalam perkembangan berkaitan, Chef de Mission kontinjen turut hadir ke Dewan Seri Sarjana, Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), yang menjadi lokasi pertandingan Pencak Silat, bagi menyampaikan sokongan moral serta suntikan semangat kepada para atlet yang sedang berjuang dalam temasya SUKMA Selangor 2026.