Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan AhmadiFoto : Ihsan Persatuan Taekwondo Brunei Darussalam
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 3 Ogos. - Semangat juang, disiplin dan ketangkasan atlet taekwondo negara sekali lagi membuahkan hasil apabila kontinjen negara berjaya membawa pulang 14 pingat pada Kejohanan Antarabangsa MBW 2026 yang berlangsung dari 31 Julai hingga 2 Ogos 2026 di Negeri Sembilan, Malaysia.
Kejayaan tersebut diraih menerusi penyertaan 21 atlet Negara Brunei Darussalam (NBD) yang dihantar oleh Persatuan Taekwondo Brunei Darussalam (BDTA) diketuai Naib Presiden merangkap Ketua Jurulatih Kebangsaan, Nikman Waie bersama Jurulatih Kebangsaan Poomsae, Habibah Mutiara dan Jurulatih Kyorugi, Azka Ibrahim.
Berlangsung dalam suasana persaingan sengit, kejohanan berprestij itu menghimpunkan kira-kira 4,000 atlet dari Malaysia, NBD, Indonesia, China, Hong Kong, Pakistan, India dan Filipina, sekali gus menjadi antara kejohanan taekwondo terbesar dan kompetitif di rantau ini.
Dalam Acara Poomsae, atlet negara mempamerkan persembahan penuh ketepatan, kawalan dan disiplin sekali gus menyumbang empat pingat emas, satu perak dan empat gangsa.
Sementara itu, dalam Acara Kyorugi atau pertarungan menyaksikan kontinjen negara menambah satu pingat emas dan empat gangsa. Pencapaian itu bukan sahaja mencerminkan keupayaan atlet negara bersaing di pentas antarabangsa, malah menjadi gambaran terhadap perkembangan berterusan sukan taekwondo di NBD.
Nikman Waie menyatakan bahawa kejayaan berkenaan sebagai hasil daripada komitmen, ketabahan dan semangat kesukanan para atlet ketika berdepan lawan yang berpengalaman dari pelbagai negara.
Menurutnya, prestasi yang ditampilkan membuktikan kemajuan berterusan taekwondo NBD, hasil dedikasi para atlet, jurulatih serta pasukan sokongan.
Beliau turut menegaskan bahawa BDTA akan terus mempergiatkan usaha mempersiapkan para atlet bagi menghadapi cabaran yang lebih besar di pentas antarabangsa.
Dalam pada itu, BDTA merakamkan penghargaan kepada Jabatan Belia dan Sukan atas sokongan berterusan dalam usaha memperkembangkan sukan taekwondo di negara ini.
Sokongan berkenaan dilihat penting dalam membuka lebih banyak peluang kepada atlet negara untuk menimba pengalaman melalui pertandingan antarabangsa, sekali gus meningkatkan tahap prestasi dan mengharumkan nama negara.
Kejayaan di Negeri Sembilan itu turut menjadi suntikan semangat kepada para atlet, jurulatih, ibu bapa dan penyokong untuk terus berganding bahu dalam melahirkan generasi baharu atlet taekwondo kebangsaan yang mampu membawa nama negara dengan penuh kebanggaan, kecemerlangan dan integriti di persada antarabangsa.