Brunei catat 1 kemenangan, 1 seri dalam Catur SUKMA 2026

17 Og 2026 - 6:53am

Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad

Foto : Ihsan Urus Setia Kontinjen Negara Brunei Darussalam ke Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026

SELANGOR, MALAYSIA, Ahad, 16 Ogos. - Kontinjen Negara Brunei Darussalam mencatat satu kemenangan dan satu keputusan seri dalam kategori Standard Individu pada Kejohanan Catur sempena Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 yang berlangsung di Dewan Sri Bernam, kelmarin.

Dalam Pusingan 5 yang bermula pada jam 9.00 pagi, wakil Kontinjen Negara Brunei Darussalam, Ak. Abdul Wafie Ikhwan Pg. Shahridin, berjaya menewaskan Luqman Nul Hakim Khairolhisal dengan keputusan 1 - 0.

Pada Pusingan 6 yang berlangsung pada jam 1.00 petang, Ak. Abdul Wafie Ikhwan Pg. Shahridin meneruskan aksinya menentang wakil Sabah, Khairul Hayden Fahym bin Khairul Fahym.

Perlawanan tersebut berakhir dengan keputusan seri 0.5 - 0.5.