Dewan Badminton AR Riyadah raikan ulang tahun pertama

8 Og 2026 - 4:52am

Berita dan Foto : Ihsan AR Riyadah

 

BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 7 Ogos. - Dewan Badminton AR Riyadah (ARBC) meraikan ulang tahun pertama penubuhannya dengan mengadakan Majlis Penyampaian Hadiah dan Penghargaan Kejohanan Badminton ARBC yang berlangsung di Dewan Indah Biru, Perindustrian Lugu.

Majlis tersebut diadakan sebagai tanda penghargaan terhadap semangat kesukanan dan komitmen para peserta yang telah memeriahkan Kejohanan Badminton ARBC sepanjang tahun pertama operasi dewan berkenaan.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Low Ser Yer, yang seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang. Turut hadir ialah barisan pengurusan AR Riyadah, para penaja, peserta kejohanan serta ahli keluarga mereka.

Dalam ucapan alu-aluannya, Pemilik AR Riyadah, Pengiran Haji Alit bin Pengiran Haji Damit, melahirkan rasa syukur dan bangga atas sambutan menggalakkan yang diterima terhadap pelbagai kejohanan serta aktiviti yang dianjurkan sepanjang tempoh setahun beroperasi.

Menurut beliau, AR Riyadah bukan sahaja menjadi lokasi untuk aktiviti sukan badminton, malah telah berkembang sebagai platform yang menyatukan komuniti, mencungkil bakat baharu serta memupuk gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.

Beliau turut menegaskan komitmen AR Riyadah untuk terus menganjurkan lebih banyak program dan kejohanan pada masa akan datang bagi mengembangkan lagi sukan badminton di negara ini.

Kejohanan tersebut mempertandingkan empat kategori, iaitu Beregu Lelaki Veteran 120 Tahun Ke Atas, Beregu Wanita, Beregu Campuran dan Beregu Lelaki, dengan penyertaan seramai 96 peserta dari sekitar Daerah Brunei dan Muara.

Para pemenang bagi setiap kategori menerima hadiah wang tunai, pingat dan raket bagi johan, yang disampaikan oleh tetamu kehormat.

Majlis turut menyaksikan penyampaian sijil penghargaan kepada para penaja, jawatankuasa penganjur serta sukarelawan sebagai pengiktirafan atas sumbangan mereka dalam menjayakan kejohanan berkenaan.

Suasana majlis turut dimeriahkan dengan cabutan nama bertuah serta jamuan mesra yang menghimpunkan para peserta bersama ahli keluarga mereka.

Mengakhiri majlis, pihak AR Riyadah merakamkan penghargaan kepada semua peserta, penaja dan rakan strategik yang telah memberikan sokongan padu sepanjang penganjuran kejohanan, di samping menyasarkan penganjuran Kejohanan Badminton ARBC edisi kedua pada tahun 2027 dengan skala yang lebih besar dan penyertaan yang lebih meluas.