GYBS55 jalin ukhuwah melalui Perlawanan Badminton Persahabatan

14 Og 2026 - 6:14am

Berita dan Foto : Ihsan Gabungan Yang Bersara Semua 55

LABUAN, Khamis, 13 Ogos. - Gabungan Yang Bersara Semua 55 (GYBS55) dari Negara Brunei Darussalam (NBD) baru-baru ini mengadakan kunjungan ke Labuan bagi menjayakan Perlawanan Badminton Persahabatan bersama pasukan GVC Shuttler.

Kunjungan yang disertai oleh ahli-ahli GYBS55 berkenaan bukan sahaja bertujuan untuk mengeratkan hubungan melalui aktiviti sukan, malah menjadi platform untuk memperkukuh silaturahim dan semangat persaudaraan antara komuniti badminton NBD dan Labuan.

Sepanjang berada di Labuan, rombongan GYBS55 menerima sambutan mesra daripada pihak GVC Shuttler. Suasana perlawanan berlangsung dalam semangat kesukanan, persahabatan dan ukhuwah, dengan kedua-dua pasukan saling bertukar pengalaman serta kemahiran di gelanggang.

Pihak GYBS55 merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada GVC Shuttler atas sambutan serta layanan yang diberikan sepanjang kunjungan berkenaan.

Menurut pihak GYBS55, walaupun kunjungan berkenaan berlangsung dalam tempoh yang singkat, ia meninggalkan kenangan yang bermakna dan diharapkan menjadi titik permulaan kepada hubungan yang lebih erat serta kerjasama berterusan antara kedua-dua pasukan pada masa akan datang.

Lawatan berkenaan turut mencerminkan bahawa badminton bukan sekadar medan pertandingan, tetapi mampu menjadi jambatan dalam membina persahabatan, mengeratkan silaturahim dan menyatukan masyarakat serantau.

GYBS55 berharap hubungan yang terjalin bersama GVC Shuttler akan terus berkembang melalui perlawanan persahabatan dan aktiviti bersama pada masa akan datang, sama ada di Labuan mahupun di NBD.