Hybrid Movement Brunei menyerlah di Borneo Fittest 2026

7 Og 2026 - 6:37am

Berita dan Foto : Ihsan Hybrid Movement

 

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 6 Ogos. - Hybrid Movement Brunei mengharumkan nama Negara Brunei Darussalam apabila berjaya meraih gelaran juara dan naib juara dalam kategori Push pada kejohanan Borneo Fittest 2026 yang berlangsung di Dewan Sukan dan Komuniti Ang Cheng Ho, Kuching, Sarawak, baru-baru ini.

Kejohanan yang berlangsung selama dua hari, dari 1 hingga 2 Ogos, menghimpunkan atlet kecergasan dari seluruh rantau untuk bersaing dalam tiga kategori, iaitu Play, Push dan Prime. Setiap pasukan dianggotai oleh tiga atlet yang terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita.

Kejayaan terbesar Hybrid Movement Brunei hadir menerusi kategori Push apabila pasukan DNF, yang dibarisi Darren Chai, Nina Juna dan Wai Zhi Foong, muncul sebagai juara kategori tersebut.

Sementara itu, pasukan Hybrid yang diwakili Daryl Chai, Brian Wong dan Charlene Bong pula menamatkan saingan di tempat kedua, sekali gus membolehkan Hybrid Movement Brunei menguasai dua kedudukan teratas dalam kategori berkenaan.

Turut beraksi dalam kategori Push ialah pasukan Stranger Danger, dianggotai Azim Nadzri, Raymond Po dan Shu Qi, yang menamatkan pertandingan di kedudukan keenam keseluruhan.

Dalam kategori Play, Hybrid Movement Brunei mempertaruhkan dua pasukan. Pasukan Scrambled Eggs, terdiri daripada Tan Wan Ung, Jeremy Lim dan Jackson Teo, menduduki tempat kelima, manakala pasukan XYY, yang diwakili Izzul Ridzlan, Mona Wahab dan Wan Farid Wan Muhammad, menamatkan cabaran di kedudukan ke-12.

Pencapaian tersebut menyerlahkan kekuatan atlet Hybrid Movement Brunei apabila lima pasukan berjaya bersaing dalam dua kategori di kejohanan berprestij itu, dengan dua daripada tiga kedudukan podium kategori Push dimenangi oleh pasukan dari gimnasium yang sama.

Kejayaan Hybrid Movement Brunei turut menyumbang kepada pencapaian memberangsangkan kontinjen Brunei pada kejohanan berkenaan apabila pasukan Triple Horsepower dari GetFit muncul juara kategori Prime, manakala 673 Hangloose dari HOM menamatkan saingan di tempat ketujuh kategori Play.

Bagi kategori Push, juara membawa pulang hadiah wang tunai RM1,200, naib juara RM900 dan tempat ketiga RM600.

Kejohanan Borneo Fittest 2026 bukan sahaja menjadi medan persaingan atlet kecergasan dari rantau ini, malah membuka peluang kepada para peserta untuk menguji kemampuan, mengeratkan hubungan serta memperkukuhkan jaringan komuniti kecergasan di peringkat serantau. Bagi Hybrid Movement Brunei, kejayaan tersebut membuktikan kemampuan atlet tempatan untuk terus bersaing dan mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.