Kejohanan Badminton semarakkan Jubli Platinum Pendidikan Ugama Formal

21 Sep 2026 - 6:44am

Oleh : Aimi Sani

Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman

RIMBA, Ahad, 20 September. - Jabatan Pengajian Islam (JPI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) telah mengadakan Kejohanan Badminton sempena Semarak Jubli Platinum 70 Tahun Pendidikan Ugama Formal di Dewan Serbaguna, Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah, petang tadi.

Kejohanan berkenaan diadakan antara lain bertujuan untuk menyemarakkan Sambutan Jubli Platinum 70 Tahun Pendidikan Ugama Formal, di samping menggalakkan penglibatan warga KHEU dan institusi-institusi pengajian tinggi dalam aktiviti riadah dan sukan. 

Penganjuran kejohanan ini juga selaras dengan tema sambutan, iaitu 'Ukhuwah Kukuh, Pendidikan Teguh', antara lain menekankan kepentingan mengeratkan hubungan  silaturahim, memupuk semangat kerjasama serta menyemai nilai kesukanan dalam kalangan para peserta.

Kejohanan berkenaan merupakan antara aktiviti sukan yang dianjurkan bagi menyemarakkan lagi sambutan Jubli Platinum 70 Tahun Pendidikan Ugama Formal, di samping kejohanan futsal, bola jaring dan tenpin boling.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Setiausaha Tetap KHEU, Dr. Awang Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Awang Haji Ahmad yang seterusnya menyampaikan hadiah kepada pasukan-pasukan yang berjaya. Kejohanan Badminton berkenaan bermula pada 11 September 2026 dan disertai oleh warga KHEU serta institusi-institusi pengajian tinggi.

Sebanyak empat kategori dipertandingkan iaitu Kategori Beregu Lelaki Terbuka dengan penyertaan 20 pasukan, Kategori Beregu Perempuan Terbuka dengan 11 pasukan, Kategori Beregu Lelaki Veteran dengan 11 pasukan dan Kategori Beregu Perempuan dengan enam pasukan.

Peringkat separuh akhir bagi kesemua kategori serta beberapa perlawanan akhir telah diadakan pada sebelah pagi, manakala perlawanan akhir Kategori Beregu Lelaki Terbuka diadakan pada sebelah petang, sebelum disusuli dengan majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang.