Kejohanan Boling Kampung Serasa pupuk semangat kekeluargaan

22 Sep 2026 - 5:08am

Berita dan Foto : Ihsan Majlis Perundingan Kampung Serasa

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 21 September. - Kejohanan Boling Kali Pertama Peringkat Kampung Serasa telah diadakan di Utama Bowling Centre, Batu Satu, pada baru-baru ini.

Kejohanan berkenaan merupakan anjuran Majlis Perundingan Kampung (MPK) Serasa yang melibatkan sebanyak lima pasukan lelaki dan empat pasukan perempuan.

Kejohanan dimulakan dengan bacaan Doa Selamat yang dibacakan oleh Awang Muhamad Irsyad bin Nor Isa.

Juara bagi kejohanan berkenaan disandang oleh Kumpulan MHHB FAMILY, sementara naib juara milik oleh HMS Family, manakala tempat ketiga dimenangi oleh Lucky Striker.

Suasana kejohanan berlangsung dengan sangat meriah dan setiap pasukan menunjukkan semangat yang tinggi dalam usaha untuk merebut gelaran juara.

Semangat kekitaan dan kekeluargaan turut jelas terserlah dalam kalangan para peserta sepanjang kejohanan diadakan.

Pengurusan dan pengendalian Kejohanan Boling Kali Pertama Peringkat Kampung Serasa berkenaan ialah Awang Julaihi bin Mohamad. Beliau turut membimbing dan melatih para belia kampung dalam aspek pengurusan serta pengendalian kejohanan, sebagai persediaan untuk penganjuran aktiviti sukan pada masa akan datang.

Hadir sama pada kejohanan berkenaan, Ketua Kampung Serasa, Awang Abdurrahman bin Haji Othman.

Sementara itu, pemain terbaik akan dipilih untuk mewakili Kampung Serasa pada Kejohanan Boling Peringkat Mukim Serasa yang akan diadakan pada Oktober nanti.