Siaran Akhbar : Jabatan Penerangan
Foto : Mohammad Hasif Matzin
BERAKAS, Ahad, 20 September. - Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri (JPM) melalui Bahagian Pelita Brunei mengadakan Perlawanan Akhir Kejohanan Futsal sempena Sambutan Jubli Platinum Akhbar Pelita Brunei Ke-70 Tahun di Kompleks Sukan Jabatan Kerja Raya, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Setiausaha Tetap (Urustadbir Perkhidmatan Awam), JPM, Awang Ajman bin Haji Meludin. Turut hadir, Pemangku Pengarah Penerangan, Dayang Sastra Sarini binti Haji Julaini; pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai dan kakitangan Jabatan Penerangan.
Pada perlawanan akhir tersebut, Pasukan Jabatan Hal Ehwal Masjid muncul juara selepas menewaskan Pasukan Radio Televisyen Brunei dengan jaringan 3 - 0.
Acara diteruskan dengan penyampaian hadiah kepada pemenang tempat pertama, tempat kedua dan tempat ketiga bersama yang disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis.
Kejohanan futsal ini disertai oleh sembilan pasukan dan dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu Kumpulan 'A' terdiri daripada Pasukan Info 'A', Jabatan Hal Ehwal Masjid, Jabatan Adat Istiadat Negara, Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan Print Plus Sdn. Bhd.
Manakala Kumpulan 'B' terdiri daripada Pasukan Info 'B', Radio Televisyen Brunei, Pusat Da'wah Islamiah dan Dewan Bahasa dan Pustaka.
Peringkat kumpulan kejohanan futsal ini telah diadakan pada Ahad, 13 September 2026 yang menyaksikan dua pasukan daripada setiap kumpulan mara ke peringkat separuh akhir.
Adapun tujuan diadakan untuk memeriahkan lagi Sambutan Jubli Platinum Akhbar Pelita Brunei Ke-70 Tahun dan sebagai salah satu aktiviti riadah dan pengukuhan silaturahim antara rakan strategik Pelita Brunei dan media swasta.
Di samping itu, kejohanan ini adalah untuk menyemarakkan lagi semangat perpaduan, kerjasama berpasukan dan gaya hidup sihat melalui aktiviti sukan yang sihat dan kompetitif.