Kejohanan Mini Al-Osrah eratkan komuniti badminton

22 Sep 2026 - 4:59am

Berita dan Foto : Ihsan Arena Al-Osrah

BENGKURONG, Isnin, 21 September. - Arena Al-Osrah telah berjaya mengadakan Kejohanan Mini Komuniti Al-Osrah Volume 2, yang menghimpunkan ahli-ahli komuniti badminton Al-Osrah dalam suasana pertandingan yang kompetitif dan mesra.

Edisi kedua kejohanan ini mempertandingkan dua kategori, iaitu Beregu Lelaki dan Beregu Wanita, dengan penyertaan terdiri daripada pemain-pemain yang aktif menyertai Sesi Komuniti Al-Osrah dan Ladies Night.

Berbeza daripada kejohanan biasa di mana peserta mendaftar bersama pasangan masing-masing, Kejohanan Mini Komuniti ini menggunakan format pasangan secara rawak. Format tersebut memberi peluang kepada para peserta untuk bergandingan dengan ahli komuniti yang berlainan, di samping mengeratkan silaturahim, membina persahabatan baharu dan mewujudkan suasana pertandingan yang lebih inklusif.

Pertandingan Beregu Lelaki diadakan pada sebelah pagi, diikuti dengan pertandingan Beregu Wanita pada sebelah petang, bertempat di Arena Al-Osrah, Bengkurong Masin.

Kejohanan ini bukan sahaja memberi ruang untuk bersaing, malah merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Arena Al-Osrah dalam menyediakan lebih banyak peluang bermain serta mengembangkan komuniti badminton melalui sesi komuniti, perlawanan persahabatan dan kejohanan.

Volume 2 merupakan kesinambungan daripada Kejohanan Mini Komuniti Al-Osrah yang pertama pada Julai 2026, sekali gus mencerminkan perkembangan dan penyertaan berterusan dalam komuniti Al-Osrah.

Arena Al-Osrah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua peserta, ahli jawatankuasa, pegawai pertandingan dan penyokong yang telah sama-sama menjayakan kejohanan kali ini.