Berita dan Foto : Siti Rokiah Abdullah
BERAKAS, Khamis, 13 Ogos. - Rombongan keempat kontinjen Negara Brunei Darussalam (NBD) telah berlepas bagi menyertai temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXII yang akan diadakan di Selangor, Malaysia.
Rombongan berkenaan terdiri daripada pasukan badminton yang diwakili empat atlet dan seorang jurulatih; pasukan olahraga yang terdiri daripada seorang atlet dan seorang jurulatih; serta pasukan sepak takraw yang melibatkan lapan atlet, seorang pengurus dan seorang jurulatih.
Hadir bagi mengucapkan selamat belayar serta menyampaikan ucapan nasihat dan kata-kata motivasi kepada para rombongan di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, Timbalan Pengarah Belia dan Sukan, Awang Haji Mohamad Rosfazilah bin Haji Yusly.
Turut hadir, pegawai dan kakitangan Jabatan Belia dan Sukan, wakil-wakil daripada Persatuan Badminton Kebangsaan Brunei Darussalam, Persatuan Olahraga Brunei Darussalam dan Persatuan Sepak Takraw NBD, serta keluarga para atlet.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat, diikuti dengan penyampaian ucapan nasihat serta kata-kata motivasi kepada kontinjen NBD. Majlis kemudiannya diakhiri dengan sesi bergambar ramai.
Atlet badminton negara dijadualkan bertanding pada 15 Ogos 2026 di Setia City Convention Centre Hall 1 dan 2, Shah Alam, Selangor bagi acara perseorangan lelaki, beregu lelaki dan berpasukan lelaki.
Sementara itu, pasukan sepak takraw pula akan memulakan saingan pada tarikh yang sama di Arena MBSJ Puchong, Selangor bagi acara regu dan Doubles.
Bagi pasukan olahraga pula, wakil negara akan berentap dalam acara 800 meter lelaki pada 16 Ogos 2026 yang berlangsung di Stadium Universiti Putra Malaysia, Serdang.
Penyertaan rombongan keempat berkenaan diharap akan terus menyemarakkan semangat juang para atlet negara dalam mengharumkan nama NBD di pentas SUKMA XXII, di samping memberikan saingan terbaik dalam acara masing-masing.