La Vida Awareness Run 2026 meriahkan Pekan Tutong

21 Sep 2026 - 5:29am

Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. IbrahimFoto : Hernie Suliana Haji Othman

TUTONG, Ahad, 20 September. - La Vida Bhd., sebuah syarikat bukan berasaskan keuntungan yang ditubuhkan bagi memberikan khidmat kepada golongan yang kurang berkemampuan serta individu berkeperluan khas, pagi ini menganjurkan La Vida Awareness Run 2026.

La Vida Awareness Run 2026 disertai seramai 132 peserta diadakan di hadapan Jeti Sungai Pekan Tutong, di sini. Antara yang hadir menyertai larian tersebut ialah Ketua Kampung Bukit Udal, Awang Haji Masri bin Haji Abdullah.

La Vida Awareness Run 2026 menawarkan dua kategori utama, iaitu Kategori Individu Berkeperluan Khas sejauh 3 kilometer (km) serta Kategori Terbuka Lelaki dan Wanita sejauh 5km.

Acara tersebut membawa tema ‘Unique Run for a Good Cause’, selaras dengan matlamat La Vida untuk menggabungkan aktiviti kemasyarakatan, kesedaran awam dan usaha mengumpul dana bagi tujuan kebajikan.

Acara larian berkenaan bertujuan untuk meningkatkan kesedaran awam dan mengumpul dana bagi menyokong usaha kebajikan di Negara Brunei Darussalam.

La Vida Bhd. kini memberi tumpuan kepada usaha membantu individu kurang berkemampuan dan individu berkeperluan khas, di samping memberikan sokongan kepada keluarga mereka.

Penganjuran acara tersebut bertujuan memperkenalkan kepada orang ramai mengenai peranan dan usaha La Vida, termasuk inisiatif berkaitan keperluan khas, kebajikan golongan kurang berkemampuan serta pembangunan masyarakat.

Selain itu, ia juga bagi meningkatkan kesedaran, acara berkenaan turut menjadi platform bagi mengumpul dana untuk memperluaskan jangkauan La Vida melalui pelaksanaan program dan inisiatif kesejahteraan yang lebih menyeluruh.

Usaha seperti ini diharap membolehkan lebih ramai individu daripada pelbagai latar belakang, keperluan dan keupayaan menerima manfaat serta sokongan secara berkesan.