Siaran Akhbar dan Foto : Persatuan Taekwondo Brunei Darussalam
BERAKAS, Rabu, 12 Ogos. – 6th Korean Ambassador Cup telah melabuhkan tirainya di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, selepas berlangsung selama tiga hari dengan persaingan sengit yang melibatkan lebih 300 atlet dari Negara Brunei Darussalam (NBD) dan Malaysia.
Berlangsung dari 7 hingga 9 Ogos 2026, kejohanan ini menghimpunkan para atlet dalam Acara Kyorugi, Poomsae dan Hanmadang, sekali gus menyediakan platform serantau yang kukuh bagi para atlet menguji kemahiran, memperoleh pengalaman berharga dalam pertandingan serta mengeratkan persahabatan melalui Sukan Taekwondo.
Kejohanan ini dianjurkan bersama oleh Persatuan Taekwondo Brunei Darussalam (BDTA) dan Kedutaan Besar Republik Korea di NBD dan terus memainkan peranan dalam mengukuhkan hubungan persahabatan yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara melalui bidang sukan dan pembangunan belia.
Bagi Acara Kyorugi, United Taekwondo Gym muncul sebagai juara keseluruhan, manakala Hierofalcon Taekwondo Club (Sabah) meraih naib juara pertama dan Han Loong Taekwondo Club (Sabah) di tempat naib juara kedua.
Awang Mohammad Alwi Naqqiuddin bin Mohammad Nordi dari United Taekwondo Gym dinobatkan sebagai Pemain Lelaki Kyorugi Terbaik, manakala Dayang Nur Izzah At-Thoyyibah binti Awang Haji Mohd. Zulizzo dari Wiraseni PAP Masnah dinobatkan sebagai Pemain Wanita Kyorugi Terbaik.
Sementara Acara Poomsae, Kelab Taekwondo Warisan Sendakan muncul sebagai juara keseluruhan, diikuti Han Loong Taekwondo Club (Sabah) sebagai naib juara pertama dan 018 MMA sebagai naib juara kedua.
Aleister Xavier Ng Zhen Zi dari Han Loong Taekwondo Club menerima anugerah Pemain Lelaki Poomsae Terbaik, manakala Dayangku Nur Azeemah Raihani binti Pengiran Azizul Rahman dari 018 MMA dinobatkan sebagai Pemain Wanita Poomsae Terbaik.
Acara Hanmadang pula, Borneo Star Taekwondo Club meraih gelaran juara keseluruhan, manakala United Taekwondo Gym muncul sebagai naib juara pertama dan Hybrid Martial Arts Academy sebagai naib juara kedua.
Anugerah individu bagi kategori ini diberikan kepada Daniell Trump Hiew Long Guan dan Daniella Huew Wei Ping, kedua-duanya dari Borneo Star Taekwondo Club, yang masing-masing dinobatkan sebagai Pemain Lelaki Hanmadang Terbaik dan Pemain Wanita Hanmadang Terbaik.
Walaupun kejohanan ini meraikan para pemenang, BDTA menegaskan bahawa setiap atlet yang menjejakkan kaki ke gelanggang pertandingan merupakan pemenang dalam perjalanan mereka sendiri.
Dedikasi, disiplin dan keberanian yang ditunjukkan sepanjang tiga hari pertandingan mencerminkan nilai sebenar Taekwondo iaitu rasa hormat, ketekunan, daya tahan serta usaha berterusan untuk memperbaiki diri.
BDTA merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Duta Besar Republik Korea ke NBD, Tuan Yang Terutama Sun Nam-kook serta Kedutaan Besar Republik Korea di NBD atas persahabatan dan sokongan berterusan dalam menjayakan kejohanan ini.
Persatuan turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Belia dan Sukan (JBS), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, atas sokongan yang tidak ternilai. Kejohanan ini telah mendapat kelulusan daripada JBS, mencerminkan komitmen berterusan jabatan berkenaan dalam membangunkan bidang belia dan sukan di NBD.
BDTA juga mengiktiraf dedikasi para jurulatih, pengadil, pegawai teknikal, sukarelawan, jawatankuasa penganjur, kelab-kelab yang mengambil bahagian, ibu bapa, penaja serta para penyokong yang telah menyumbang secara kolektif dalam memastikan kejohanan ini dapat dilaksanakan dengan jayanya.
Penutupan 6th Korean Ambassador Cup menandakan satu lagi lembaran penting dalam perkembangan Sukan Taekwondo di NBD, di samping mengukuhkan hubungan sukan serantau serta membuka peluang baharu kepada para atlet untuk bertanding, berkembang dan mengejar kecemerlangan.