NBD cipta sejarah rai kejayaan Taekwondo Secara Maya

4 Og 2026 - 7:30am

Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan AhmadiFoto : Ihsan Persatuan Taekwondo Negara Brunei Darussalam

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 3 Ogos. - Negara Brunei Darussalam (NBD) melakar satu lagi detik bersejarah dalam arena sukan antarabangsa apabila buat julung kalinya menyertai Taekwondo Secara Maya (Virtual Taekwondo) pada Kejohanan Antarabangsa MBW 2026 yang berlangsung di Negeri Sembilan, Malaysia, baru-baru ini.

Penyertaan sulung itu dikendalikan oleh Persatuan Taekwondo Brunei Darussalam (BDTA) diketuai Naib Presiden merangkap Ketua Jurulatih Kebangsaan, Nikman Waie bersama Jurulatih Kyorugi, Azka Ibrahim.

Lebih membanggakan, kemunculan pertama negara dalam disiplin yang menggabungkan kemahiran seni mempertahankan diri dengan teknologi digital berkenaan terus membuahkan hasil apabila atlet skuad negara berjaya meraih trofi naib johan ketiga (second runner-up) dalam Pertandingan Taekwondo Secara Maya.

Kejayaan tersebut turut diserikan dengan persembahan cemerlang dua atlet negara, apabila Claral Goh merangkul pingat emas dalam Kategori Wanita, manakala Muhammad Abrar bin Haji Bakar@Muhammad Bisyukri membawa pulang pingat gangsa bagi Kategori Lelaki.

Pencapaian itu sekali gus mencatat sejarah sebagai pingat antarabangsa pertama NBD dalam disiplin Taekwondo Secara Maya. Taekwondo Secara Maya merupakan disiplin sukan tanpa sentuhan fizikal yang inovatif, dibangunkan hasil kerjasama World Taekwondo dan Refract Technologies.

Dengan menggabungkan penggunaan set kepala realiti maya serta sistem pengesanan pergerakan AXIS, atlet melaksanakan teknik tendangan sebenar yang kemudiannya diterjemahkan ke dalam pertempuran maya secara dinamik.

Teknologi tersebut bukan sahaja memberikan dimensi baharu kepada sukan taekwondo, malah menggabungkan kemahiran tradisional dengan inovasi digital, tanpa mengetepikan nilai teras sukan berkenaan seperti disiplin, rasa hormat dan kecemerlangan.

Taekwondo Secara Maya turut mendapat pengiktirafan Majlis Olimpik Asia (OCA) sebagai salah satu sukan pingat rasmi bagi Sukan Asia Ke-20 Aichi-Nagoya 2026.

Sebelum ini, disiplin berkenaan turut dipraktikkan dalam Olympic Esports Week dan Sukan Olimpik Paris 2024, sekali gus memperlihatkan perkembangan pesat sukan tersebut seiring dengan kemajuan teknologi digital.

Bagi NBD, penyertaan dua atlet negara itu mencerminkan kesungguhan BDTA dalam meneroka peluang baharu serta memperluas penglibatan atlet negara dalam landskap taekwondo dunia yang semakin berkembang.

Mengulas pencapaian tersebut, Nikman Waie menyatakan ia sebagai satu pencapaian penting dalam perkembangan taekwondo negara. Menurutnya, Taekwondo Secara Maya merupakan antara masa depan sukan berkenaan kerana menggabungkan unsur inovasi dengan kecemerlangan atlet.

Beliau turut melahirkan kebanggaan kerana NBD menjadi antara negara yang menyahut perkembangan disiplin baharu tersebut sejak dari awal, selain mengakui persembahan Claral dan Abrar membuktikan bahawa atlet negara mampu bersaing dengan jayanya di peringkat antarabangsa.

Dalam pada itu, BDTA merakamkan penghargaan kepada semua atlet, jurulatih, pegawai serta penyokong yang telah menyumbang kepada pencapaian bersejarah berkenaan.

BDTA juga menyampaikan penghargaan kepada Jabatan Belia dan Sukan atas sokongan berterusan terhadap pembangunan sukan taekwondo di negara ini, khususnya dalam menyediakan peluang kepada atlet kebangsaan untuk menyertai pertandingan antarabangsa, memperoleh pendedahan dalam disiplin baharu seperti taekwondo secara maya serta membuat persediaan menghadapi kejohanan sukan berprestij, termasuk Sukan Asia Ke-20 Aichi-Nagoya 2026.

Pencapaian di Negeri Sembilan itu bukan sekadar kemenangan di podium, tetapi menjadi tanda aras baharu buat taekwondo di NBD, membuktikan bahawa keberanian meneroka medan baharu, digandingkan dengan bakat dan disiplin, mampu mengangkat nama negara ke persada antarabangsa.