NBD raih pingat gangsa bagi Sukan Taekwondo

18 Og 2026 - 5:38am

Oleh : Dk. Hajah Naqayatul Akma Pg. Haji Ali

Foto : Ihsan Urus Setia Kontinjen Negara Brunei Darussalam ke Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026

 

SELANGOR, MALAYSIA, Isnin, 17 Ogos. - Pertandingan Taekwondo bagi Kategori Heavy Weight Lelaki +87kg berlangsung pada hari keempat (hari terakhir) kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 dengan menyaksikan beberapa perlawanan sengit melibatkan atlet Kontinjen Negara Brunei Darussalam (NBD).

Dalam pusingan awal, kontinjen negara, Awang Muhammad Alwi Naqiuddin bin Md. Nordi berjaya menewaskan Muhammad Asyraf Darwisy dari tuan rumah Negeri Selangor. Perlawanan berlangsung selama tiga pusingan dan Kontinjen NBD muncul sebagai pemenang dengan keputusan mata 7 - 14, 9 - 8 dan 10 - 11.

Pada pusingan suku akhir pula, Awang Muhammad Alwi Naqiuddin bin Md. Nordi menentang Muhammad Izdihar Hambali dari Kedah dan sekali lagi mencatat kemenangan dengan keputusan 8 - 0, 6 - 14 dan 6 - 6, mata yang diperoleh melalui Advantage Attack.

Pada peringkat separuh akhir, Awang Muhammad Alwi Naqiuddin bin Md. Nordi sekali lagi turun beraksi namun tewas kepada Aj Ong Yang Yi yang merupakan atlet kebangsaan Sarawak, pemenang pingat Emas bagi SUKMA Selangor 2026 dan SUKMA Sarawak 2024 dengan keputusan 0 - 18 dan 1 - 17.

Walau bagaimanapun, pencapaian tersebut telah menghasilkan Kontinjen NBD dengan meraih pingat gangsa bersama Negeri Sembilan. Pertandingan turut diakhiri dengan upacara penyampaian pingat pada pukul 7.00 malam. Chef de Mission kontinjen NBD turut menyaksikan pertandingan serta memberikan sokongan kepada atlet yang bertanding.