Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad
Foto : Ihsan Urus Setia Kontinjen Negara Brunei Darussalam ke Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026
SELANGOR, MALAYSIA, Ahad, 16 Ogos. - Pasukan badminton kontinjen Negara Brunei Darussalam terpaksa akur apabila tewas kepada pasukan Perak dalam perlawanan Kumpulan C pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 yang berlangsung di Setia City Convention Centre.
Perlawanan yang bermula pada jam 9.00 pagi itu menyaksikan pasukan Perak menguasai permainan dengan aksi konsisten dalam ketiga perlawanan yang dipertandingkan.
Dalam acara perseorangan pertama, Dessen Chung Min Tin tewas kepada Eogene Ewe dengan keputusan 8 - 21, 7 - 21.
Sementara itu, dalam acara regu, Mohammad Haziq Roze dan Muhd. Izzuddin Ermadena memberikan tentangan sengit sebelum tewas pada set penentuan kepada pasangan Arnold Dibble dan Muhammad Syakir Zufayri dengan kiraan mata 11 - 21, 21 - 19 dan 11 - 21.
Dalam acara perseorangan kedua pula, Muhd. Talipuddin Ermadena tewas kepada Winson Choh Kah Liang dengan keputusan 14 - 21, 5 - 21.