Panchor Murai FC terus memperkukuh reputasi, memantapkan prestasi pemain

6 Og 2026 - 4:18am

Siaran Akhbar dan Foto : Kelab Bola Sepak Panchor Murai FC

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 5 Ogos. - Kelab Bola Sepak Panchor Murai FC mengambil langkah untuk memperkukuh reputasi dan memantapkan prestasi sebagai persiapan menghadapi kejohanan-kejohanan bola sepak di peringkat kebangsaan dan serantau.

Pengerusi Kelab Bola Sepak Panchor Murai FC, Pengiran Zamri bin Pengiran Haji Bujang semasa sesi pemilihan pemain elit Panchor Murai FC di Padang Universiti Brunei Darussalam (UBD), di sini, menjelaskan walaupun kelab berkenaan masih berada pada peringkat awal perjalanan, namun beliau yakin dengan semangat kerjasama dan kita akan mampu membina sebuah organisasi dan pasukan yang berjaya serta disegani.

Jelasnya lagi, sesi pemilihan berkenaan memberi peluang kepada pemain daripada pelbagai latar belakang untuk mempamerkan kemampuan masing-masing dalam usaha merebut tempat dalam skuad Panchor Murai FC.

Lebih 50 pemain menyertai pemilihan yang dikendalikan oleh jurulatih baharu Panchor Murai FC, Sahala Marudut Tigor, iaitu bekas jurulatih WB Brother FC dari Republik Indonesia.

Menurut Sahala Marudut Tigor, kita menilai aspek teknikal, taktikal, fizikal serta karakter pemain. Kita telah mengenal pasti beberapa pemain berpotensi untuk digilap dalam skuad ini.

Beliau mengakui untuk membentuk sebuah pasukan yang mantap sudah pasti memerlukan pemain yang berkualiti dari segi kemahiran, di samping memiliki disiplin yang tinggi, semangat juang serta komitmen untuk terus berkembang bersama pasukan.

Dalam melengkapkan pembentukan dan pembangunan pemain, Panchor Murai FC turut membawa masuk barisan jurulatih berpengalaman dari Republik Indonesia, termasuk Pamungkas Yuli Korniawan Herdana sebagai penolong ketua jurulatih, Herdana selaku jurulatih penjaga gol dan Muhammad Rizaldi sebagai jurulatih kecergasan.

Manakala Pengurus AM Panchor Murai FC, Awang Adib bin Rani, menzahirkan rasa optimis bahawa kehadiran barisan kejurulatihan berkenaan akan membantu kelab berkenaan melaksanakan persiapan yang lebih tersusun dan bersistematik.

"Kita semua akan menggembleng tenaga untuk sama-sama membina kemantapan pasukan Panchor Murai FC secara menyeluruh. Komitmen seluruh barisan pengurusan, kejurulatihan, pemain serta penyokong akan memberikan impak yang positif kepada kelab bola sepak ini," ujarnya lagi.