PMKK Tutong catat kemenangan bergaya

5 Og 2026 - 5:14am

Berita dan Foto : Ihsan Urus setia Liga Bola Sepak Penghulu Mukim dan Ketua Kampung 2026-2027

 

TUTONG, Selasa, 4 Ogos. - Pasukan Bola Sepak Penghulu Mukim dan Ketua Kampung (PMKK) Tutong mencatat kemenangan bergaya apabila membelasah PMKK Brunei Muara 6 - 1 dalam saingan Liga Bola Sepak PMKK 2026-2027 yang berlangsung di Kompleks Sukan Tutong.

PMKK Tutong memulakan aksi dengan cemerlang apabila Kong Jaimie membuka tirai jaringan pada separuh masa pertama sebelum Awang Md. Hendry Abd. Majid menggandakan kelebihan untuk meletakkan tuan rumah selesa mendahului 2 - 0 menjelang waktu rehat.

Bersambung babak kedua, PMKK Brunei Muara meraih gol sagu hati hasil jaringan sendiri Awang Haji Haslan Haji Shahbudin. Namun, PMKK Tutong kembali menguasai permainan apabila Kong Jaimie menyempurnakan satu umpanan kemas untuk melebarkan kedudukan.

Kong Jaimie kemudian melengkapkan hatriknya, manakala Awang Md. Hendry Abd. Majid turut menjaringkan gol kedua peribadi bagi memastikan PMKK Tutong menamatkan perlawanan dengan kemenangan meyakinkan 6 - 1.

Walaupun mencatat kemenangan sulung musim ini, PMKK Tutong masih menghuni tangga tercorot liga. Bagaimanapun, keputusan tersebut menghalang PMKK Brunei Muara daripada memintas PMKK Belait yang kini mengumpul 10 mata.

Sementara itu, PMKK Temburong kekal menerajui carta liga dengan 13 mata, manakala peluang PMKK Belait untuk merampas kedudukan teratas akan ditentukan pada perlawanan terakhir musim ini.