Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim
Foto : Azmah Haji Ahad
BELAIT, Ahad, 2 Ogos. - Program Kampung Ku Sihat yang diadakan awal pagi tadi adalah bagi membudayakan gaya hidup sihat dalam kalangan penduduk kampung melalui aktiviti riadah briskwalk dan berjalan kaki sejauh 1.5 kilometer yang bermula dan berakhir di Tamu Jati Kampung Merangking.
Antara yang hadir pada acara anjuran Majlis Perundingan Kampung (MPK) Merangking ialah Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Haji Md. Salleh bin Haji Othman, Penghulu Mukim Bukit Sawat; Yang Berhormat Awang Mohammad bin Abdullah@Lim Swee Ann, Ketua Kampung Bukit Sawat dan Ketua Kampung Merangking, Awang Nurulizam bin Abdul Rahman serta lebih 80 penduduk sekitar.
Terdahulu sebelum aktiviti briskwalk, satu sesi pemanasan badan diadakan selama 15 minit. Aktiviti berkenaan memberikan pengalaman yang menyeronokkan serta sesuai untuk semua lapisan peringkat umur.
Di samping itu, program ini bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara penduduk kampung dan menggalakkan penglibatan masyarakat dalam aktiviti komuniti.
Selain itu, ia juga bertujuan untuk menarik kehadiran orang ramai ke Tamu Jati Kampung Merangking iaitu tamu bulanan yang diadakan sekali dalam setiap bulan bagi menyokong peniaga penduduk kampung dan memeriahkan suasana kampung.
Program ini diharapkan dapat meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan menjaga kesihatan, mengukuhkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat serta menjadikan Tamu Jati Kampung Merangking sebagai destinasi komuniti yang sentiasa meriah dan mendapat sokongan penduduk kampung serta pengunjung yang datang sambil mengenali tempat-tempat di dalam negara khususnya di pedalaman seperti Kampung Merangking, Ulu Belait ini.