Rombongan kedua kontinjen negara berlepas ke SUKMA XXII

12 Og 2026 - 6:47am

Berita dan Foto : Ak. Mohamad Zaki Pg. Haji Kasharan

BERAKAS, Selasa, 11 Ogos. - Seramai lima ahli terdiri dari dua atlet Sukan Catur serta dua Pegawai Urus Setia dan seorang Jurulatih telah berlepas dalam rombongan kedua kontinjen Negara Brunei Darussalam (NBD) ke Selangor, Malaysia bagi menyertai Sukan Malaysia (SUKMA) XXII dijadual berlangsung secara rasminya bermula 15 hingga 24 Ogos 2026 di Selangor, Malaysia.

Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei pada petang tadi bagi mengucapkan selamat belayar dan memberikan ucapan serta kata-kata semangat ialah Pemangku Ketua Pegawai Belia dan Sukan, Dayang Noorfairuzah Hani binti Haji Mohamad @ Haji Zaini.

Majlis didahului dengan bacaan Doa Selamat, diselajurkan dengan ucapan nasihat kepada kontinjen NBD dan diakhiri dengan sesi bergambar ramai.

NBD dalam temasya SUKMA ini akan menyertai dalam 11 acara sukan yang dipertandingkan iaitu Akuatik Renang, Badminton, Olahraga, Catur, Golf, Lawan Pedang, Karate, Pencak Silat, Sepak Takraw, Taekwondo dan Wushu.

Atlet-atlet Catur negara akan mula bertanding pada Khamis, 13 Ogos 2026 bertempat di Dewan Seri Bernam dalam acara Individual Rapid dan Individual Standard.

Hadir sama ialah pegawai-pegawai Jabatan Belia dan Sukan, wakil Persekutuan Catur Brunei dan keluarga atlet. Sementara itu, rombongan ketiga akan bertolak ke Selangor, Malaysia pada Rabu, 12 Ogos 2026.