Siaran Akhbar dan Foto : Sekolah Menengah Sultan Muhammad Jamalul Alam
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 7 Ogos. - Kejohanan Rentas Desa Antara Rumah-rumah Sukan Sekolah Menengah Sultan Muhammad Jamalul Alam (SM SMJA) kali Ke-36, Tahun 2026 telah diadakan baru-baru ini, bertempat di kawasan bawah Jambatan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha (RIPAS), Sungai Kebun.
Sebanyak empat buah rumah sukan menyertai kejohanan berkenaan, iaitu Pulau Chermin (kuning), Jong Batu (biru), Berambang (hijau) dan Lumut Lunting (merah).
Acara kejohanan yang diadakan selang dua tahun sekali berkenaan mempertandingkan beberapa kategori, iaitu Kategori Guru-guru dan Kakitangan Sekolah Lelaki, Kategori Guru-guru dan Kakitangan Sekolah Perempuan, Kategori 'B' Lelaki, Kategori 'B' Perempuan, Kategori 'C' Lelaki, dan Kategori 'C' Perempuan.
Juara keseluruhan bagi kejohanan disandang oleh Rumah Lumut Lunting, yang juga merupakan juara bagi acara sukan yang diadakan pada 2025. Rumah berkenaan diketuai oleh Awang Almanylie bin Haji Alamin dan Dayang Siti Norassimah binti Haji Kassim.
Terdahulu, acara dimulakan dengan bacaan Al-Fatihah dan doa oleh Prefek-prefek, Awang Md. Nur Syakir Danish bin Shahrul, Awang Md. Ashraff Mirza bin Khairul Hasfalilah, Awang Danial Hisyamuddin bin Aming; diikuti dengan senamrobik Zumba yang diketuai oleh Dayang Fatin Syahirah binti Haji Yusdi.
Turut hadir ialah ahli-ahli Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).
Penyampaian pingat turut disampaikan oleh Pengetua SM SMJA, Dayang Hajah Nor Aisah binti Haji Mohd. Salleh; Timbalan Pengetua Akademik, Dayang Paridah binti Haji Bayong; Timbalan Pengetua Pentadbiran, Dayang Suhana binti Ramli; dan wakil Ahli PIBG, Awang Yahya bin Haji Sapar (PIBG Unit Sukan dan Riadah).