Siaran Akhbar dan Foto : Ihsan Urus Setia Kontinjen Negara Brunei Darussalam Sukan Asia Ke-20
NAGOYA, JEPUN, Ahad, 20 September. - Atlet wusyu negara, Dayang Basma Lachkar, sekali lagi menunjukkan prestasi yang konsisten di pentas Sukan Asia apabila berjaya meraih pingat Gangsa dalam acara Combined Event Taijiquan dan Taijijian pada Sukan Asia Ke-20 Aichi-Nagoya 2026.
Pada Sukan Asia Hangzhou 2022, Dayang Basma telah meraih pingat perak dalam acara yang sama. Pencapaian gangsa pada tahun ini meneruskan prestasi konsistennya di peringkat Asia.
Pada pertandingan yang berlangsung di Aichi Prefectural Martial Arts Hall itu, pingat emas menjadi milik Xin Tong dari Republik Rakyat China dengan catatan skor keseluruhan 19.553, manakala Shiho Saito merekodkan 19.473 untuk meraih pingat perak bagi negara tuan rumah.
Dayang Basma berkongsi jumlah mata yang sama dengan atlet Republik Singapura, Zeanne Zhi Ning Law setelah memperoleh skor keseluruhan 19.443 bagi kedudukan Gangsa.
Pertandingan berlangsung sengit dengan kesemua atlet memberikan persembahan terbaik masing-masing.
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Olympic Council of Asia Honorary Executive Board Member dan Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam, berkenan mengurniakan pingat kepada para pemenang.
Sementara itu, dalam acara Lelaki Changquan, atlet negara Awang Walid Lachkar telah memberikan persembahan terbaik beliau. Walau bagaimanapun, sedikit kesilapan dalam persembahannya telah menjejaskan markah keseluruhan. Awang Walid menamatkan saingan di tempat ke-14 daripada 21 peserta.
Dalam acara karate Kumite Lelaki, Ak. Mohd. Munib Aiman pula tewas tipis kepada Republik Indonesia dengan keputusan 1 - 2, dalam satu perlawanan yang berlangsung sengit dan berdaya saing.
Pencapaian atlet-atlet negara yang bertanding pada hari ini mencerminkan komitmen dan semangat juang tinggi kontinjen Negara Brunei Darussalam dalam menghadapi persaingan di Sukan Asia Ke-20 Aichi-Nagoya 2026.
Dalam acara sukan lain, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah juga berkenan mengurniakan maskot bagi acara Teqball Beregu Lelaki, sementara penyampai pingat adalah ahli International Olympic Committee.
Acara tersebut menyaksikan Thailand meraih pingat Emas, Lebanon pingat Perak, manakala pingat Gangsa dimenangi oleh pasukan Iraq dan Kuwait.