COLOMBO, 24 Julai. - Mahkamah di Sri Lanka mengenakan denda berjumlah 5.8 juta rupee Sri Lanka (USD17,200) terhadap hospital swasta dan makmal perubatan yang terbabit dalam 23 kes berkaitan pelanggaran undang-undang perlindungan pengguna, penggunaan bahan kimia dan ubat-ubatan luput tarikh.
Menurut Pihak Berkuasa Hal Ehwal Pengguna (CAA) negara itu pada Jumaat seperti yang dilaporkan agensi berita Xinhua, kes berkenaan dikesan susulan siri serbuan yang dijalankan ke atas hospital swasta, makmal dan farmasi di seluruh negara.
Siasatan mendapati bahan kimia yang luput tarikh digunakan bagi ujian diagnostik dan makmal, ubat-ubatan luput tarikh pula disimpan untuk rawatan pesakit atau dijual, selain caj perkhidmatan makmal dikenakan melebihi harga maksimum yang ditetapkan oleh CAA.
Pihak berkuasa turut mengesan bahan kimia luput tarikh disimpan bersama stok yang masih sah tanpa pengasingan yang sewajarnya, amalan yang menurut CAA boleh menimbulkan risiko terhadap kesihatan awam.
Denda terbesar dikenakan terhadap Venus Speciality Hospital (Pvt) Ltd iaitu sebanyak tiga juta rupee Sri Lanka oleh Mahkamah Majistret di Jaffna, utara Sri Lanka, pada 21 Julai.
CAA berkata tindakan undang-undang dijangka diambil terhadap institusi lain yang disiasat dalam operasi serbuan itu.
Pemeriksaan di seluruh negara akan diteruskan bagi menguatkuasakan undang-undang perlindungan pengguna serta melindungi kesihatan awam, katanya. -©BERNAMA