JSCPT 2026 : Tunku Mahkota Ismail muncul wira, Royal Johor benam Temasek 11-7

1 Sep 2026 - 10:51am

JOHOR BAHRU, 1 Sept. - Pasukan Royal Johor membuka aksi Kejohanan Polo Johor Super Crown (JSCPT) 2026 dengan bergaya apabila menewaskan Temasek 11-7 di Padang Polo Diraja, Istana Pasir Pelangi di sini, hari ini.

Pasukan Royal Johor yang dibarisi Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail mempamerkan penguasaan padu untuk melakar kemenangan dalam perlawanan pembukaan itu.

Baginda muncul sebagai wira pasukan apabila meledak lima gol, meskipun sebelum ini mengalami kecederaan pada tangan kanan ketika menjalani latihan.

Pemain Royal Johor, Pablo ‘Polito’ Pieres turut menyumbang empat gol, manakala Juan Bautista Panzillo menjaringkan dua gol.

Bagi Temasek, Ignatius ‘Nachi’ Du Plessis mencetak tiga gol, manakala John Paul Clarkin menyumbang dua gol. Alfonso ‘Alfon’ Pieres dan Colonel Ravi Rathore masing-masing menjaringkan satu gol.

Sementara itu, perlawanan kedua menyaksikan J-Corp menewaskan Digital Bridge 8-7.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat menyaksikan kejohanan berkenaan.

JSCPT berlangsung secara rasmi bermula hari ini hingga 6 September dan menghimpunkan lima pasukan bertaraf dunia yang dibarisi pemain elit antarabangsa, iaitu Royal Johor, Temasek, Korea Polo, J-Corp dan Digital Bridge.

Kejohanan berstatus 22 gol itu merupakan pertandingan polo dengan handikap tertinggi pernah dianjurkan di Malaysia.

JSCPT disiarkan secara langsung menerusi PoloLine.TV, sekali gus membawa aksi polo Diraja Johor kepada penonton di seluruh dunia.

Penganjuran kejohanan itu digerakkan menerusi visi bersama Tunku Mahkota Ismail dan ikon polo dunia, Polito Pieres, bagi meletakkan Johor sebagai antara destinasi utama dalam litar sukan polo antarabangsa. - ©BERNAMA