BISHKEK, 31 Ogos. - "Nampak gunung itu? Itu sebenarnya timbunan sampah. Baunya sungguh tidak tertahan," kata seorang penduduk tempatan, Aktan Akylbekov, kepada Xinhua.
"Namun kini, keadaan beransur-ansur berubah menjadi lebih baik," katanya lagi.
Pada Disember tahun lalu, sebuah loji jana tenaga daripada sisa yang dibina oleh Hunan Junxin Environmental Protection Co., Ltd. dari Republik Rakyat China, mula beroperasi secara rasmi di kaki "gunung sampah" Bishkek.
Akylbekov, 25 tahun, bekerja di loji berkenaan sebagai operator kawalan berpusat. Dari bilik kawalan, beliau memantau operasi loji serta pelepasan gas serombong secara masa nyata. "Kami mematuhi sepenuhnya piawaian alam sekitar," katanya.
Beliau berkata, adalah satu penghormatan untuk bekerja bersama rakan-rakan sekerja dari Republik Rakyat China yang membina loji berkenaan dan kini berkongsi teknologi baharu dengan para pekerja tempatan.
"Loji ini memberi manfaat kepada kedua-dua negara," katanya.
Operasi di loji berkenaan dijalankan secara tersusun dan teratur. Di kawasan pemunggahan, lori menghantar sisa pepejal perbandaran ke dalam bekas yang disediakan.
Operator di bilik kawalan kren menggunakan penyepit berkapasiti besar untuk memasukkan sisa ke dalam saluran pembakaran. ‘Incinerator’ beroperasi pada suhu sekitar 1,000 darjah Celsius, manakala jeriji berputar mencampurkan sisa bagi memastikan pembakaran berlaku sepenuhnya.
Gas berbahaya disingkirkan melalui proses penyahnitratan, penyahsulfuran dan penjerapan logam berat sebelum dilepaskan ke udara.
Pengarah Besar Projek, Zhang Jinfang, berkata syarikat berkenaan memperkenalkan teknologi penjanaan elektrik melalui pembakaran sisa.
Dengan menukarkan 'sisa' menjadi 'khazanah', loji berkenaan bukan sahaja membantu menangani masalah alam sekitar, malah turut membekalkan tenaga elektrik bersih kepada penduduk tempatan.
Pada masa ini, loji berkenaan mampu memproses sehingga 1,000 tan sisa sehari dan menjana kira-kira 146 juta kilowatt-jam tenaga elektrik hijau setiap tahun, sekali gus mengurangkan pelepasan karbon dioksida sehingga 100,000 tan setahun.
Pada Majlis Pentauliahan Loji berkenaan pada Disember 2025, Presiden Kyrgyzstan, Sadyr Japarov, berkata kemudahan tersebut akan membantu menangani isu kitar semula sisa, menjana tenaga elektrik dan mewujudkan peluang pekerjaan.
"Pembinaan loji ini akan meningkatkan dengan ketara keadaan alam sekitar di ibu negara dan turut menyumbang kepada pembekalan tenaga elektrik kepada penduduk," kata Presiden berkenaan.
Bagi Akylbekov, perkembangan paling menggembirakan ialah kerja-kerja fasa kedua kini sedang dilaksanakan. Dua lagi kemudahan seumpamanya turut sedang dibina di negara Asia Tengah berkenaan. - ©XINHUA