New Zealand batal kenaikan duti eksais bahan api pada 2027

31 Og 2026 - 9:18am

WELLINGTON, 31 Ogos. - Kerajaan New Zealand membatalkan rancangan menaikkan duti eksais bahan api pada 2027 bagi membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup dan meringankan beban cukai rakyat, kata pegawai kanan pada Isnin, lapor Xinhua.

Kenaikan 12 sen seliter yang dijadual berkuat kuasa pada 1 Jan 2027 akan dibatalkan.

Sebaliknya, kenaikan seterusnya sebanyak lima sen seliter akan berkuat kuasa pada 1 Januari 2028, diikuti tiga lagi kenaikan masing-masing lima sen pada selang enam bulan.

Kenaikan setara bagi caj pengguna jalan raya turut ditangguhkan sehingga 2028, kata Menteri Pengangkutan Chris Bishop pada sidang media.

"Membatalkan kenaikan duti eksais bahan api tahun depan dan melaksanakan perubahan itu secara berperingkat mulai 2028 akan memberi lebih banyak masa kepada rakyat New Zealand untuk pulih daripada tekanan ekonomi pasca-COVID dan ketidaktentuan terkini di Asia Barat," kata Menteri Kewangan Nicola Willis dalam kenyataan.

Bishop berkata kos projek pengangkutan meningkat sehingga 45 peratus sejak 2020, manakala duti eksais bahan api kekal tidak berubah dan susut kira-kira 20 peratus dari segi nilai sebenar.

Beliau berkata kerajaan akan menambah peruntukan kepada Dana Pengangkutan Darat Nasional bagi menampung kekurangan hasil duti eksais bahan api, dengan kos dijangka NZ$1.476 bilion (kira-kira USD870 juta) sepanjang tempoh unjuran.

Kos itu akan diimbangi sebahagiannya menerusi peruntukan luar jangka bagi tindak balas bahan api bernilai NZ$450 juta yang diwujudkan menerusi Belanjawan 2026, menurut kerajaan. - ©BERNAMA