SHINGU (Jepun), 22 Julai. - Sebuah pantai di barat Jepun baru-baru ini memulakan acara musim panas yang membolehkan pengunjung berenang selama beberapa jam sehari berhampiran dua ekor ikan lumba-lumba spesies Risso yang dilepaskan dari sangkar di sebuah teluk kecil, lapor Kyodo News.
Pengunjung teruja dan gembira dapat melihat ikan lumba-lumba itu dari jarak dekat di pantai di Taiji, Wilayah Wakayama, pada hari pertama acara berkenaan yang diadakan pada Jumaat. Haiwan itu akan dilepaskan antara 11 pagi dan 1 tengah hari sehingga 16 Ogos.
Dua ekor ikan lumba-lumba betina itu masing-masing berukuran kira-kira tiga meter dan 2.5 meter. Kawasan berkenaan dipagari dengan jaring bagi mengelakkan haiwan itu berenang keluar ke laut lepas.
"Ini satu-satunya pantai di Jepun yang membolehkan orang ramai berenang bersama ikan lumba-lumba," kata penjaga haiwan itu, Erena Tamazawa, 24.
"Pengalaman paling menarik ialah dapat melihat haiwan itu dalam persekitaran yang hampir menyerupai habitat semula jadinya," katanya. - ©BERNAMA