Pegawai Keselamatan Dalam Negeri AS : Lebih 2,000 imigran ditahan di New York

2 Sep 2026 - 10:39am

WASHINGTON, 2 Sept. - Setiausaha Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Amerika Syarikat (DHS) Markwayne Mullin pada Selasa mengumumkan bahawa ejen Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam (ICE) menahan 2,197 imigran di seluruh negeri New York dari lewat Julai hingga lewat Ogos dalam satu operasi, lapor Xinhua.

Pada sidang media di New York City, Mullin berkata “Operation Rotten Apple” melakukan apa yang enggan dilakukan oleh ahli politik di New York City dan negeri New York, iaitu menjadikan Empire State lebih selamat, sambil berkata operasi itu tidak menerima sebarang bantuan daripada Datuk Bandar Zohran Mamdani dan Gabenor Kathy Hochul. “Sepanjang operasi ini, kami menahan pembunuh, perogol, pengedar dadah dan penyerang ganas,” kata Mullin.

Menurut Homan, ahli politik Demokrat di New York dan kawasan lain mendakwa mengambil berat soal keselamatan awam, namun enggan membenarkan pihak imigresen mengambil alih tahanan penjenayah sebelum mereka dibebaskan. “Ini langsung tidak masuk akal,” katanya.

Hochul pula menyangkal kenyataan pegawai DHS itu dengan berkata pada sidang media berasingan pada hari sama bahawa “kami bukan negeri perlindungan bagi penjenayah” serta menuduh pentadbiran berkenaan mengelirukan orang ramai.

“Ini mesej saya kepada presiden: Jangan jejas usaha keselamatan awam kami. Jangan potong dana polis yang menggagalkan serangan pengganas. Jangan bermain politik dengan nyawa orang ramai,” kata Hochul.

“Salurkan US$87 juta yang anda berhutang kepada kami, kerana jika anda tidak menyalurkan dana antikeganasan itu, anda mengkhianati setiap keluarga yang kehilangan insan tersayang dalam serangan 11 Sept,” katanya sambil menyatakan bahawa DHS, agensi yang diwujudkan sebagai tindak balas terhadap serangan 11 Sept, menahan 40 peratus daripada dana antikeganasan negeri New York. - ©BERNAMA