WASHINGTON, 22 Julai. - Persatuan Akhbar Asing Amerika Syarikat (AS) akan mengemukakan rayuan kepada Jabatan Negara berhubung keputusan pentadbiran Presiden Donald Trump untuk memendekkan tempoh sah visa bagi petugas media asing, kata presidennya Ian Williams pada Selasa, lapor Sputnik/RIA Novosti.
Minggu lepas, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri mengumumkan rancangan untuk mengenakan sekatan secara langsung terhadap tempoh sah visa wartawan asing, pelajar dan peserta program pertukaran.
Peraturan itu, yang dijangka berkuat kuasa pada 15 September, mengehadkan tempoh wartawan asing berada di AS kepada 240 hari, dengan permohonan khas diperlukan bagi melanjutkan tempoh berkenaan. Wartawan dari Republik Rakyat China dikecualikan daripada peraturan itu kerana tempoh mereka di negara itu sememangnya dihadkan kepada 90 hari.
"Kami juga sedang berusaha membuka saluran komunikasi dengan Jabatan Negara bagi menjelaskan implikasi praktikal keputusan itu. Kami tahu mereka mungkin tidak akan berganjak daripada prinsip, tetapi mungkin akan mempertimbangkan aspek pelaksanaannya," kata Williams.
Beliau mengakui isu itu mungkin dapat diselesaikan menerusi usaha bersama dengan bantuan pegawai kerajaan, sambil menambah bahawa persatuan itu kini sedang berunding dengan peguam serta organisasi yang terlibat dalam media dan kebebasan bersuara.
"Namun sekali lagi, pentadbiran ini tidak menunjukkan penghormatan yang tinggi terhadap keputusan mahkamah dan Perlembagaan, serta perkara seumpamanya," katanya. Williams berkata wartawan berkemungkinan sukar mencabar keputusan pihak berkuasa itu di mahkamah.
"Persoalannya ialah sama ada wartawan secara individu mempunyai hak untuk merayu. Saya tidak begitu optimis terhadap peluang mereka kerana pihak berkuasa mempunyai budi bicara yang sangat luas ketika ini," katanya lagi.
Beliau berkata persatuan itu turut menjelaskan kepada syarikat di AS bahawa sekatan terhadap wartawan asing juga akan menjejaskan mereka kerana liputan antarabangsa terhadap syarikat-syarikat AS akan berkurangan.
Selama hampir 50 tahun, wartawan asing bekerja di AS menggunakan visa bukan pendatang kategori D/S (duration of status) (I) dan dibenarkan berada di negara itu selagi perjanjian mereka dengan organisasi media asing yang menggaji mereka masih berkuat kuasa.
Persatuan Akhbar Asing telah beroperasi di AS sejak 1918 dan menghimpunkan beberapa ratus wartawan dari seluruh dunia yang bertugas di negara itu. - ©BERNAMA