Ribut musim sejuk : Chile keluarkan nasihat kesihatan

21 Jul 2026 - 8:59am

SANTIAGO, 21 Julai. - Kementerian Kesihatan Chile pada Isnin mengeluarkan nasihat kesihatan awam bagi wilayah utara negara itu susulan ribut musim sejuk, berikutan peningkatan risiko penularan virus pernafasan ketika musim sejuk di Hemisfera Selatan, lapor Xinhua.

Menteri Kesihatan May Chomali berkata kerajaan sedang melaksanakan 'langkah pencegahan' seperti vaksinasi hepatitis A secara besar-besaran bagi  melindungi kesihatan awam.

Hujan lebat melanda wilayah Atacama dan Coquimbo di utara Chile sejak minggu lepas.

"Apa yang lazimnya turun dalam tempoh sebulan berlaku hanya dalam masa sejam," kata Setiausaha Rendah Kementerian Dalam Negeri Maximo Pavez.

Hujan lebat itu telah mengorbankan sekurang-kurangnya 10 orang, sekali gus mendorong pengisytiharan keadaan darurat.

Chomali berkata pihak berkuasa bimbang terhadap risiko kesihatan yang berpunca daripada bencana berkaitan cuaca, termasuk kehilangan akses kepada bekalan air minuman yang selamat, komuniti yang terjejas akibat banjir dan  terputus daripada bantuan luar serta kesukaran mengagihkan ubat-ubatan.

Beliau berkata nasihat kesihatan itu akan membantu memulihkan infrastruktur hospital yang rosak dengan lebih cepat serta memberi lebih banyak fleksibiliti kepada pihak berkuasa, termasuk membolehkan pesakit dipindahkan dengan lebih cepat dari kawasan terpencil apabila mereka tidak dapat menerima rawatan di kawasan masing-masing. - ©BERNAMA