Senjata dicuri dari kem tentera Republik India

1 Sep 2026 - 10:54am

HYDERABAD, 1 Sept. - Beberapa laras senapang dilaporkan dicuri dalam kejadian pecah masuk di sebuah kem tentera Republik India di Secunderabad, di negeri Telangana, selatan Republik India pada Ahad.

Antara senjata yang hilang ialah empat laras AK-47, enam pucuk pistol serta sejumlah besar peluru, menurut laporan polis.

Suspek dipercayai memecah masuk ke kemudahan Rejimen Madras yang dikawal ketat pada malam Ahad.

“Kecurian itu disedari selepas pegawai mendapati senjata berkenaan hilang.

“Penyiasat sedang meneliti semua kemungkinan termasuk bagaimana suspek berjaya memasuki kawasan yang mempunyai tahap keselamatan tinggi, memecahkan kunci dan mendapatkan akses ke bilik simpanan senjata,” lapor akhbar Deccan Chronicle menerusi laman sesawangnya pada Selasa.

Pihak berkuasa turut menyiasat kemungkinan penglibatan orang dalam dalam kes berkenaan. - ©BERNAMA