Turkiye sertai Artemis Accords NASA, jadi negara ke-71 tandatangani kerangka penerokaan angkasa aman

1 Sep 2026 - 10:37am

ISTANBUL, 1 Sept. - Turkiye menyertai Artemis Accords NASA, sekali gus menjadi negara ke-71 menandatangani kerangka antarabangsa yang bertujuan menggalakkan penerokaan Bulan, Marikh dan angkasa lepas secara aman, telus serta bekerjasama, lapor Anadolu Ajansi.

Menteri Industri dan Teknologi Turkiye Mehmet Fatih Kacir menandatangani perjanjian itu bagi pihak Turkiye dalam satu majlis pada Isnin di ibu pejabat NASA di Washington yang dihoskan Pentadbir NASA Jared Isaacman.

"Adalah satu penghormatan bagi saya untuk mengalu-alukan Turkiye sebagai penandatangan ke-71 Artemis Accords," kata Isaacman, menurut kenyataan NASA yang menekankan peranan Türkiye yang semakin berkembang dalam penerokaan angkasa lepas.

Artemis Accords yang diwujudkan pada 2020 oleh NASA, Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) dan tujuh negara pengasas yang menetapkan prinsip kerjasama antarabangsa dalam bidang angkasa lepas, termasuk penerokaan secara aman, perkongsian data saintifik, pemberian bantuan apabila diperlukan serta perlindungan tapak dan artifak yang mempunyai kepentingan sejarah.

Penyertaan Türkiye dibuat ketika program angkasa lepas negara itu semakin berkembang. Pada 2024, Alper Gezeravci menjadi angkasawan pertama Türkiye melakukan perjalanan ke Stesen Angkasa Antarabangsa dan menjalankan penyelidikan saintifik bersama angkasawan NASA.

Tuva Atasever kemudiannya menaiki VSS Unity milik Virgin Galactic sebagai sebahagian daripada misi Virgin Galactic 07. Türkiye juga sedang membuat persiapan untuk melancarkan misi pertamanya ke Bulan, AYAP-1. 

Pemeteraian itu dibuat menjelang Kongres Astronautik Antarabangsa yang akan dihoskan Türkiye di Antalya pada Oktober. Acara itu dijangka menghimpunkan puluhan negara penandatangan Artemis Accords untuk membincangkan masa depan penerokaan angkasa lepas secara aman dan telus. - ©BERNAMA