Siaran Akbar : Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam
BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 26 Julai. - Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD) memaklumkan bahawa keadaan cuaca aktif dijangka melanda Negara Brunei Darussalam bermula malam ini sehingga Isnin, 27 Julai 2026.
Menurut jabatan berkenaan, negara kini berada dalam fasa Monsun Barat Daya yang lazimnya berterusan sehingga September 2026.
Sepanjang tempoh ramalan tersebut, hujan berpetir berserta angin kencang dijangka berlaku sekali-sekala di beberapa kawasan di negara ini. Kelajuan angin boleh mencecah sehingga 50 kilometer sejam ketika atau berhampiran hujan lebat dan ribut petir.
Di perairan Brunei, keadaan laut secara amnya diramalkan berombak sedikit hingga sederhana dengan ketinggian ombak antara 0.6 meter (m) hingga 1.5m.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya mengambil langkah berjaga-jaga berikutan risiko tinggi berlakunya banjir kilat, tanah susur, pokok tumbang dan atap diterbangkan angin semasa hujan lebat berserta ribut petir.
Selain itu, keadaan laut yang berada pada paras sederhana turut berbahaya kepada semua bot bersaiz kecil serta aktiviti rekreasi dan sukan laut.
BDMD juga menasihatkan orang ramai, para pemandu dan pelaut agar sentiasa mengikuti ramalan, nasihat serta amaran cuaca terkini dan membuat perancangan sewajarnya bagi menjamin keselamatan.
Jabatan berkenaan akan terus memantau perkembangan cuaca dan akan mengeluarkan nasihat atau amaran cuaca sekiranya diperlukan.
Maklumat cuaca terkini boleh diperoleh melalui aplikasi mudah alih Brunei WX, Talian Cuaca 114, laman sesawang BDMD di www.met.gov.bn, serta saluran rasmi Facebook, Instagram, Telegram dan WhatsApp Brunei Weather.